Ikuti 9 tips pandu uji ini sebelum beli kereta

352

Kita harus akui, pembelian kenderaan di Malaysia aadalah perbelanjaan kedua terbesar selepas rumah atau tempat tinggal. Kali ini Motoqar akan senaraikan tips pandu uji untuk anda sebelum membeli kereta. 

Jadi adalah penting untuk kita buat keputusan terbaik dalam pembelian kereta kerana jika tersalah buat keputusan, faham-faham sendiri lah ya.

Lima hingga sembilan tahun untuk bayaran bulanan tu biarlah kita senang hati.

Kami tidak akan sentuh aspek kewangan di sini, tetapi hanya panduan menyeluruh atau tips apa perlu dilakukan apabila jurujual kereta memberi anda kunci untuk pandu uji.

1. Tips pertama pandu uji ialah selesakan diri dan ambil masa anda

Tips pertama pandu uji ialah selesakan diri dan ambil masa anda
Imej: Essential Health Plus

Adalah penting untuk anda berada dalam kedudukan selesa di dalam kereta, SUV, van atau trak yang anda ingin pandu uji. Jangan terburu-buru, cari kedudukan selesa dan optima. Duduk menegak dan sedikit menyandar untuk keselesaan dan kawalan terbaik.

Periksa juga tempat duduk sama ada ianya selesa untuk anda. Cukup empuk atau cukup menyokong.

Biasakan juga dengan kawalan lain seperti butang, suis, tombol dan sebagainya. Adakah mudah dicapai? Adakah cukup ergonomik? Ya, kereta belum bergerak pun ada sudah boleh uji macam-macam dan jumpa macam-macam perkara.

2. Cuba gunakan ciri kelengkapan, belek buku manual

Langkah seterusnya sebelum mula memandu, cuba gunakan seberapa banyak ciri dan kelengkapan pada kereta. Adakah sambungan Bluetooth-nya mudah digunakan? Terdapat fungsi lain seperti Android Auto atau Apple CarPlay? Bagaimana pula dengan kualiti audio?

Dan ya, langkah ini penting agar anda boleh fokus pada pemanduan kemudian.

Periksa juga jika kereta itu memiliki ciri lain yang lebih canggih seperti kawalan memarkir sendiri, bantuan kekal lorong, kawalan meluncur adaptif, brek automatik dan sebagainya. Wakil jualan yang menemani anda patut tahu untuk menerangkan semua fungsi ini.

Belek juga buku tebal yang sering kita lupakan, iaitu buku manual. Adakah maklumatnya senang dibaca dan mencukupi?

Selain itu, kenderaan moden hari ini biasanya mempunyai komputer perjalanan. Cuba reset sebelum memandu supaya nanti anda dapat bacaan kecekapan penggunaan bahan apinya.

3. Pastikan jurujual tidak mengganggu tumpuan anda

Imej: Driving-Tests.org

Tahukah anda antara kunci utama untuk menguji kenderaan yang anda akan beli adalah bagaimana anda “mengawal” jurujual anda. Seorang jurujual kenderaan akan dilatih untuk memonopoli perbualan dengan anda agar jualan itu berjaya.

Ia bukanlah perkara yang buruk. Namun adalah lebih baik jika anda, dengan sopan, minta jurujual itu diam dahulu semasa anda memandu uji. Dan hanya bersuara jika perlu.

Dengan ini, anda dapat fokus pada bunyi audio kenderaan, atau bunyi-bunyi lain dari kenderaan itu. Tidak perlu rasanya anda mendengar lagi ayat-ayat iklan tentang betapa bagusnya kereta itu.

Ingat, pandu uji adalah untuk melihat, mendengar, menghidu, dan merasa (pegang, bukan jilat) kereta. Mana tahu jika hati anda berkenan, jurujual itu juga yang gembira nanti.

4. Bawa keluarga jika boleh

Imej: Wirecutter

Untuk anda yang dah berkeluarga, ia idea yang baik untuk bawa bersama keluarga. Alasannya mudah: anda dapat menilai kereta lebih baik apabila mendapat maklum balas dari ahli keluarga.

Lihat jika pasangan anda sukakan kereta itu, dan sama ada ISOFIX anak anda mudah dipasang.

Lebih mustahak lagi, membawa ahli keluarga boleh merungkaikan beberapa lagi isu lain seperti adakah kereta squat terlalu banyak dengan penumpang penuh, adakah cukup kuasa. Jangan bawa naik Genting sudah lah.

5. Pandu secara biasa, di jalan harian

Imej: NuVista Homes

Sebelum anda pandu lebih laju, cuba pandu di laluan harian anda seperti jalan ke tempat kerja atau ke sekolah anak anda.

Lihat sama ada kereta itu rasa serasi dengan anda untuk kegunaan seharian. Juga anda boleh lihat jika kereta itu mudah dikemudi dalam trafik.

6. Cuba jalan berliku

Kini anda sudah mula memasuki bahagian lebih susah. Cuba cari jalan yang akan menguji sedikit suspensi dan keselesaan kereta itu.

Anda boleh pilih jalan yang mempunyai lubang, tar tidak sempurna dan konkrit untuk melihat sebarang kelemahan kereta itu di aspek ini. Tidak perlu terlalu laju dan ganas. 40-60 km/j sudah mencukupi.

Apabila ada ahli keluarga bersama, dapatkan juga pendapat mereka.

7. Mula memandu lebih “bersemangat”

Ini mungkin bahagian lebih menarik. Lebih-lebih lagi jika jurujual mencadangkan, “boleh tekan laju sikit encik, rasakan kesemua 280hp kereta ini.”

Dari kelajuan rendah, pecut secara berkadar hingga ke kelajuan lebuhraya sekitar 110-120 km/j. Dengan ini, anda dapat rasakan cara penghantaran kuasa dan bunyi kereta itu. Oh, sudah tentu lakukan apabila ada ruang dan jalan selamat.

Untuk kestabilan pada kelajuan tinggi, anda boleh cuba tukar lorong dengan lancar pada kelajuan 80-100 km/j. Perkara lain yang boleh diperhatikan adalah bunyi angin, bunyi tayar dan tahap RPM pada 100 km/j; lebih rendah RPM maka lebih baik.

8. Parkir beberapa kali

Imej: Dailymail.co.uk

Ini satu lagi perkara penting yang sering penguji terlupa, iaitu mencuba parkir bersama kereta pandu uji.

Telitikan sama ada anda mudah melihat ke luar melalui semua cermin dan cuba agak dimana bampar kereta. Cuba beberapa cara parkir seperti masuk depan, mengundur atau parallel parking (parking tepi).

9. Sentiasa berfikiran terbuka

Perkara terakhir ialah anda perlu berfikiran terbuka. Anda mungkin sangat sukakan sesebuah kereta kerana gayanya yang menarik, namun bila dipandu tidak seberapa pula. Kereta yang cantik itu mungkin tidak menepati semua kriteria anda dan untuk itu, anda perlu matang dan bijak membuat keputusan.

Komen anda mungkin membantu