Brek enjin: Bolehkah hasilkan dengan transmisi automatik?

3705

Engine braking atau brek enjin ialah penurunan kelajuan putaran enjin apabila tidak diberi kuasa, dalam erti kata lain semasa melepaskan pedal minyak dari kelajuan tinggi.

Ini adalah sifat semulajadi enjin apabila penghantaran kuasa dihentikan, dan ia terjadi disebabkan pelbagai daya rintangan yang terdapat dalam sistem mekanikal enjin.

brek enjin



Sebagai contoh dengan transmisi manual, katakan anda memandu sekitar 70 km/h dalam gear 4, apabila anda melepaskan pedal minyak tanpa menekan klac, brek enjin akan menurunkan kelajuan kereta anda dengan agak cepat berbanding melepaskan minyak sambil menekan klac.

Brek enjin amat berguna kerana untuk enjin moden, ia membantu menjimatkan penggunaan bahan api. Selain itu, ia juga membantu mengurangkan kadar kehausan pad brek.

Dalam situasi pemanduan seperti menuruni jalan curam misalnya, ia membantu brek hidraulik (brek kaki) memperlahankan kenderaan. Jadi, tidak semua beban itu perlu ditampung oleh brek hidraulik.

Tetapi, bagaimana pula dengan transmisi automatik? Bolehkah ia hasilkan brek enjin?

Jawapannya ya, boleh.

  1. Automatik torque-converter

Jenis torque converter adalah automatik paling lazim. Brek enjin terhasil sebaik sahaja anda melepaskan pedal minyak. Untuk lebih efektif, anda boleh turunkan ke gear lebih rendah, seperti dari D ke 3, atau dari 3 ke 2.

Jika hanya ada susunan D, 2, dan L, tekan butang Overdrive OFF semasa di dalam D untuk membolehkan transmisi masuk dari gear 4 kepada 3.

Jika kereta anda dilengkapi paddle-shifter, lebih mudah. Hanya tarik sahaja paddle simbol “-“ di sebelah kiri.

  1. Automatik dual-clutch

brek enjin - dual-clutch

Untuk DCT atau dual-clutch atau dwi-klac, lebih mudah. Biasanya transmisi ini sudah tersedia dengan mod manual. Hanya tolak sahaja ke arah “-“ pada tombol gear atau tarik sahaja paddle “-“ di stereng.

  1. CVT

brek enjin - cvt

Begitu juga CVT atau Continuous Variable Transmission, hanya tolak ke simbol “-“ dalam mod manual untuk menurunkan gear dan memberikan brek enjin lebik efektif.

Peringatan

Namun ada beberapa perkara harus diingat untuk menghasilkan brek enjin. Sebelum menurunkan gear atau downshift, pastikan meter putaran enjin (rpm) tidak terlalu tinggi. Ini kerana memasukkan ke gear rendah akan meningkatkan tahap pusingan enjin sebanyak 400 hingga 1,000 rpm.

Anda pasti tidak mahu downshift semasa jarum berdekatan garisan merah (red line).

Harus diketahui juga kebanyakan transmisi moden sudah cukup pandai. Ia akan downshift jika perlu untuk memberi kesan brek enjin. Ini dilakukan apabila transmisi mengesan kelajuan kenderaan semakin bertambah tetapi pedal minyak tidak ditekan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here