STI perkenal Subaru WRX STI S209 – paling berkuasa, hanya untuk AS

3323

Sesiapa yang biasa bermain permainan video dan simulator seperti Gran Turismo serta Forza Motorsport pasti familiar dan mempunyai memori dengan Impreza S204 dan S205.

Subaru Tecnica International (STI) baru-baru ini memperkenalkan siri S terbaharu, Subaru WRX STI S209, eksklusif untuk pasaran Amerika Syarikat. Ia model pertama diperkenalkan di AS selepas model S201 hingga S208 hanya boleh didapati di Jepun.



S209 mengikuti tradisi dan resepi model-model barisan S sebelumnya iaitu enjin lebih berkuasa, casis yang dipertingkat, reka bentuk berasaskan prestasi dan pengendalian lebih mengujakan.

STI paling berkuasa 

Nadi kepada STI S209 ialah 2.5-liter EJ25 (berbanding 2.0-liter untuk pasaran lain) bentangan boxer. Ia mampu menjana 341 hp, terima kasih kepada omboh dan rod diperkukuh, penyuntik dan pam bahan api dipertingkat, dan unit kawalan enjin yang ditala semula.

Turbo HKS-nya mempunyai diameter lebih besar iaitu 65 mm dan boost-nya ditingkatkan dari 16.2 psi ke 18.0.

Betul-betul di bawah skop ikoniknya terdapat sistem semburan air intercooler untuk merendahkan suhu bila diperlukan. Dan pelengkap kepada deruman unik boxer ialah sistem ekzos baharu yang kini dengan back pressure lebih rendah.

Casis dipertingkat

Jika dilihat pada badan S209 ini, terdapat segi-segi fender dan lubang-lubang kemasukan udara. Badannya lebih lebar berbanding STI biasa dan seperti dijangka, tayarnya lebih lebar. Ia menggunakan Dunlop SP Sport Maxx GT 600A yang dibangunkan khas untuk S209 ini, dipadan dengan rim aloi BBS 19-inci.

Untuk sistem gantungan, S209 mendapat penyerap hentak Bilstein, spring lebih keras dan bar anti-oleng lebih keras. Breknya pula menggunakan pad lebih agresif untuk dipadankan dengan ciri agresif tayarnya.

Di ‘tulang-tulang’ kereta ini, suatu talaan unik dilakukan. Terdapat tiga pengeras tarikan – dua dipasang secara diagonal di bawah depan, dan satu menghubungkan topang suspensi depan. Hasil dari susunan ini ialah membantu spring untuk ‘mempersiapkan’ casis menerima perubahan tekanan tanpa mengganggu gaya pemanduan.

Pengendalian mengujakan

STI S209 menjanjikan pengendalian mengujakan untuk pemandunya hasil penggunaan komponen unik dan talaan dari sukan perlumbaan. Dengan lebar tayar 265mm dan casis yang dipertingkat dan diperkukuh, S209 mampu mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, ia menjana 1.0g jika membelok di skid pad ujian.

Kombinasi warna unik

WRX STI S209 ditawarkan dalam dua pilihan kombinasi iaitu WR Blue Pearl dengan rim Satin Grey atau Crystal White Pearl dengan rim Satin Gold.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here