Wet Mode pada Porsche 911 2019 menunjukkan kereta moden juga boleh berubah karakter

129

Porsche 911 terbaharu seperti biasa akan lebih berkuasa dari sebelumnya. 911 generasi kelapan juga tidak terkecuali, namun 911 2019 ini juga dilengkapi Wet Mode untuk memastikannya lebih selesa, selamat dan mempunyai pengendalian lebih baik di permukaan basah.

Cara Wet Mode atau mod basah ini berfungsi sebenarnya agak mudah dan straight-forward. Jika anda bukan jenis geek atau nerd untuk memahami sistem-sistem pemanduan berfungsi, anda boleh berhenti membaca di sini.

Porsche Wet Mode boleh mengesan jalan basah secara automatik melalui pengesan akustik di ruang tayar. Pengesan ini mengesan percikan atau semburand dari tayar yang basah. Ini sedikit berbeza dari pengesan hujan di cermin depan yang mengesan bila ada titisan air hujan dari atas. Perbezaan ini perlu kerana jalan mungkin masih basah walaupun hujan telah berhenti.

Apabila sistem mengesan permukaan basah, tingkahlaku Porsche Stability Management (PSM) akan lebih bersedia dan lebih sensitif. Tanda amaran juga akan keluar di paparan pemandu untuk memaklumkan kepada pemandu agar menukar ke Wet Mode secara manual.

Penukaran ini boleh dilakukan sama ada melalui butang di konsol tengah atau suis mod di roda stereng (jika 911 anda dilengkapi dengan Sport Chrono Package).

Jika Wet Mode diaktifkan, PSM, Porsche Traction Management (PTM), aerodinamik adaptif, Porsche Torque Vectoring Plus (jika ada) dan respons pemanduan semuanya akan diadaptasi untuk memastikan kestabilan maksima.

Dari 90km/j, spoiler belakang akan dinaikkan ke posisi “performance”, bilah penyejuk udara depan dibuka, karakter pedal minyak akan “diratakan” sedikit dan fungsi PSM Off atau mod Sport tidak boleh diaktifkan. Kawalan tork enjin akan lebih lancar dan cara penukaran gear dari transmisi PDK juga akan disesuaikan dengan situasi ini.

Pada model 911 Carrera 4S yang berpacuan semua roda, lebih kuasa akan dipindahkan ke gandar depan untuk lebih kestabilan. Pembeda di gandar belakang juga akan menggunakan nisbah penguncian lebih rendah untuk lebih cengkaman.

Untuk pemandu, kesemua perubahan ini akan dapat dirasai dengan pengendalian lebih meyakinkan serta alat bantuan pemanduan yang akan “masuk campur” lebih awal sekiranya keadaan memerlukan.

Jika kita memandu kereta biasa akan perlahankan kelajuan dan tingkatkan fokus semasa memandu dalam hujan lebat, kini Porsche 911 2019 ini akan mengambil “beban” itu dan memberikan pemandu kurang stress.

Porsche 911 generasi kelapan ini dipersembahkan di Los Angeles pada November lepas. Enjin flat-six turbonya kini menghasilkan 450 PS (30 PS lebih dari sebelumnya) dan mampu memberikan pecutan 0 ke 100km/j dalam 3.7 saat sahaja.

Komen anda mungkin membantu