Memandu guna satu pedal, jimatkan brake pad! Bagaimana caranya?

2715

Biar betul memandu guna satu pedal je. Tekan minyak je, tak guna brek?

Teknik “one pedal driving” ini diterangkan oleh Engineering Explained yang mendemonstrasi menggunakan Nissan Leaf. Pemanduan ini boleh dilakukan hanya menggunakan pedal minyak, pedal brek pula hampir tidak diperlukan.



Sebenarnya teknik ini hanya boleh dilakukan dengan kereta EV (elektrik sepenuhnya), hibrid atau plug-in hybrid (PHEV) sahaja. Ini kerana kereta-kereta begini mempunyai motor elektrik dan pakej bateri.

Bagaimana ia dilakukan?

Kereta-kereta hibrid seperti di atas boleh bergerak menggunakan mod elektrik sahaja tanpa menggunakan bahan api fosil (petrol atau diesel) dalam tempoh tertentu. Dan sudah tentu, kereta EV menggunakan elektrik sepenuh masa.

Untuk bergerak (pedal minyak ditekan), bateri menghantar kuasa ke motor elektrik, lalu motor elektrik menghasilkan tenaga kinetik untuk menggerakkan kereta.

Untuk berhenti (pedal minyak dilepaskan), tenaga kinetik dari kereta pula digunakan untuk menghasilkan daya kepada motor elektrik lalu dihantar semula ke bateri.

Proses ini juga dikenali sebagai energy regenerative atau penghasilan semula tenaga. Dengan momentum kereta ini jugalah salah satu cara bateri mendapat kuasa semula.

Semasa pedal minyak dilepaskan, motor elektrik memberikan sedikit rintangan yang menghasilkan kadar penurunan kelajuan seperti membrek. Menurut Engineering Explained, kadar ini adalah pada kira-kira 0.2 g.

0.2 g iaitu 20 peratus dari berat kenderaan bersamaan juga dengan daya brek yang biasa kita gunakan ketika hendak memberhentikan kenderaan. Brek hidraulik biasa hanya digunakan secara automatik apabila kereta telah berhenti sepenuhnya.

Biasanya kereta mempunyai kuasa brek antara 1.0 g hingga lebih sedikit, namun kita tak pijak brek maksimum setiap kali, bukan? Jadi kadar 0.2 g itu ialah sangat normal seperti kita menghampiri lampu isyarat untuk berhenti.

Jadi dengan keupayaan ini, kereta EV atau hibrid (dalam mod EV) mampu dipandu menggunakan satu pedal sahaja. Jimat brake pad (pelapik brek)! Tetapi, pemandu perlulah bijak mengagak kelajuan dan jarak untuk gunakan teknik ini dengan berkesan.

Habis tu tak guna brek kaki langsung? Kalau kecemasan?

Jangan risau, sudah tentu masih boleh gunakan brek hidraulik/mekanikal seperti biasa. Jika dalam situasi kecemasan atau anda tersalah mengagak jarak dan kelajuan, masih boleh tambah daya brek dengan menekan pedal brek.

Lampu brek menyala tak? Nanti orang terlanggar belakang

Kenderaan moden cukup bijak, jika ia diperlahankan melebih sesuatu kadar, lampu brek akan tetap menyala walaupun pedal brek tidak ditekan. Dalam video ini, walaupun dilepaskan minyak dan kenderaan diperlahankan pada kadar 0.2 g, lampu brek Nissan Leaf ini tetap menyala.

Berikut adalah contoh kereta mengikut kategori:

EV: Tesla Model S, Tesla Model X, Nissan Leaf, Mitsubishi i-MiEV, Renault Twizy, BMW i3

Hybrid: Honda Jazz Hybrid, Honda City Hybrid, Honda Insight, Hyundai Ioniq, Toyota Prius, Toyota Camry Hybrid, Lexus IS 300h

Plug-in hybrid: BMW i8, BMW 330 e, BMW 530 e, Mercedes C 350 e, Mercedes E 350 e, Volvo S90 T8, Volvo XC60 T8, Volvo XC90 T8

Jadi, bolehlah anda cuba teknik “one pedal driving” ini jika memandu model-model seperti di atas. Ia juga melatih anda menjadi pemandu lebih bijak kerana anda akan merancang terlebih dahulu setiap pergerakan yang akan dibuat. Ini juga menjadikan pemanduan lebih lancar seterusnya menjimatkan bahan api.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here