MINI Cooper Countryman diberi dua “perisa” baharu untuk 2019

219

MINI Malaysia memperkenalkan kemaskini untuk MINI Countryman 2019 di Malaysia. Pengenalan ini membabitkan varian baharu Cooper S Countryman Pure dan Countryman Plug-In Hybrid yang kini boleh didapati dengan Wired Package yang memberikan pilihan kelengkapan tambahan.

Harga jualan model-model ini tanpa insurans adalah:

MINI Cooper S Countryman Pure: RM228,888.00

MINI Countryman Plug-In Hybrid: RM250,000.00

Wired Package: tambah RM18,000.00

Kedua-dua model didatangkan dengan jaminan 4-tahun tanpa had perbatuan oleh MINI serta program servis berjadual percuma.

MINI Cooper S Countryman Pure

Pertamanya, Cooper S Countryman Pure. Varian ini mendapat enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang menghasilkan 189hp (192PS) dan 280Nm tork. Dipadan dengan transmisi automatik 8-kelajuan Steptronic, ini memberikan pecutan 0 ke 100km/j dalam 7.4 saat dan kelajuan maksima 224km/j.

Kelengkapan standard termasuklah lampu depan LED dengan lampu belok, rim Black Pin Spoke 18-inci, kemasan kulit Cross Punch Carbon Black, kemasan dalaman Hazy Grey, penghawa dingin automatik dwi-zon dan sistem infotainmen dengan skrin 6.5-inci.

MINI Countryman Plug-In Hybrid

Nadi kepada MINI Countryman hibrid ini adalah enjin 1.5-liter 3-silinder turbo yang menjana 134hp dan 220Nm tork, serta motor elektrik dengan 87hp dan 165Nm tork. Enjin pembakaran dalaman memacu roda depan manakala motor elektrik memacu roda belakang.

 

Sistem ini memberikan jumlah output gabungan 221hp dan 385Nm tork. Dari segi prestasi, MINI ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 6.8 saat hingga ke kelajuan maksima 198km/j.

Kedua-dua kereta diberikan pakej ‘MINI Connected’ dengan SIM 4G. Ciri ini menampilkan Intelligent Emergency Call, ‘TeleServices’, ‘MINI Online’, MINI Concierge Service, ‘Apple CarPlay’ tanpa wayar, Remote Services dan Servis eDrive (eksklusif untuk MINI Countryman Plug-In Hybrid Wired).

Ciri kemudahan dibawa ke aras yang baharu dengan Comfort Access, Park Assist, Front and Rear PDC, Auto Tailgate, Rear View Camera, Electronic Parking Brake, dan MINI Picnic Bench.

Komen anda mungkin membantu