Kisah Michael Schumacher lenjan Proton Wira 236km/j

22948

Kami yakin pasti sesetengah dari kita yang ada terdengar atau terbaca kisah mengenai Michael Schumacher pernah memandu Proton Wira.

Tetapi pasti ramai yang tidak tahu bagaimana legenda Formula Satu yang memegang gelaran juara dunia tujuh kali itu dapat memandu Wira 1.8 EXi itu. Kiranya kisah hujung pangkalnya.



Semalam, Suriya Sankaran berkongsi dalam satu video dari bagaimana Schumacher ingin memandu Proton Wira itu, hingga beberapa perkara menarik lain.

Suriya ialah pengasas kepada Dream Street Restoration (DSR) yang membuat restorasi dan blueprinting untuk model-model Proton dengan casis C99 seperti Wira 1.8, Satria GTi dan Putra. Untuk pengetahuan, Proton Wira dipandu Schumacher adalah kepunyaan Suriya sendiri.

Jadi pada Mac 2003, menjelang minggu Grand Prix F1 Malaysia, Schumacher sepatutnya bertolak dari Hotel Pan Pac, Kuala Lumpur ke Hotel Cyberjaya Lodge untuk sidang media seterusnya, dengan menaiki van shuttle Mercedes.

Suriya berkata, “Saya ditugaskan untuk membawa Schumacher, jurutera-jurutera Ferrari dan pasukan teknikal Shell dengan kenderaan yang telah diaturkan untuk mereka.”

Imej: Keira Asuncion

Sebaik sidang media itu tamat, Suriya yang menunggu di luar telah ditegur oleh Juan Carlos Perez, Pengurus Besar Shell Global Sport Sponsorship pada masa itu.

“Dia memberitahu saya bahawa Michael Schumacher mungkin ingin memandu kereta saya,” kata Suriya.

Sebaik Schumacher tiba di lobi hotel, Suriya terus mempersilakan beliau ke arah MPV yang disediakan, tetapi sebaliknya pelumba F1 itu terus ke arah pintu pemandu Proton Wira.

Suriya berkongsi lagi, Schumacher berkata, “Saya ada pengalaman tidak baik dengan MPV, saya ingin segera, kamu ajar saya bagaimana untuk pandu kereta ini.”

Memang tergamam Suriya di depan Schumacher dan wartawan-wartawan pada masa itu. Juara dunia F1 nak pandu kereta kita kot!

Suriya juga dinasihatkan oleh Jean Todt (pengurus pasukan Ferrari F1) untuk bersetuju sahaja dengan kehendak Schumacher, dan mengajar sebanyak yang boleh mengenai kereta itu untuk dipandunya.

Proton Wira itu sebenarnya bekas jentera rali yang digunakan semasa Rally of Perlis 1999, jadi terdapat roll-cage di dalamnya.

Perkongsian menarik yang kami rasa ialah Schumacher sempat bertanya kereta ini ada berapa gear kerana tiada sebarang petunjuk pada tombol gear itu.

Perkara paling menarik ialah bagaimana seorang pelumba dan pemandu profesional menguji sesebuah kereta baharu. Bukan terus sahaja tekan dan lenjan ke kelajuan tinggi.

Sebaliknya, sebaik memasuki lebuhraya, Schumacher menekan dan menguji dahulu tekanan serta feel brek Proton Wira 1.8 itu, dan ingin merasa keseimbangan suspensi kereta.

“Saya dapat lihat dia cuba untuk mempelajari kebolehan (dan karakter) kereta itu,” tambah Suriya.

Menurut Suriya, Schumacher telah memandu Proton Wira itu hingga ke kelajuan yang dia sukar percayai. Gear 3 hingga 170km/j, gear 4 hingga 210km/j. Kemudian Schumacher bertanya, “Betul ke kereta ini ada 5 gear?”

Tambah Suriya lagi, pada saat itu, perkara yang menjadi kerisauan dia hanyalah keselamatan juara dunia Formula Satu itu dan Juan Carlos Perez yang menumpang di belakang, bukan lagi perkara lain.

Malah, ketika Proton Wira itu dipandu dalam kelajuan kira-kira 210km/j di lebuhraya juga, mereka turut terserempak dengan peronda lebuhraya yang menaiki Volvo 850 T5 Estate. Kereta peronda itu siap memberikan lampu tinggi kepada mereka!

Dalam pemanduan singkat itu, Schumacher sempat ‘pergi’ hingga kelajuan maksima Proton Wira 1.8 EXi ini iaitu 236km/j. 

Anda boleh tonton video penuh perkongsian Suriya di bawah ini:

 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here