
Di Newport Pagnell, sebuah Aston Martin DB5 yang pernah dibeli kurang £1,000 pada awal 1970an muncul kembali dalam keadaan sempurna hasil kerja baik pulih penuh oleh Aston Martin Works.
Namun kisah di sebaliknya lebih besar daripada sekadar sebuah kereta lama yang dibaiki. Ia adalah perjalanan setengah abad seorang lelaki mengejar impian masa muda.
Pada tahun 1972, John Williams baru berusia 18 tahun dan bekerja sebagai tukang kimpal. Di sebalik rutin harian, dia menyimpan satu impian besar.
Tanpa mempedulikan rintangan, John menabung selama lebih setahun, bekerja lebih masa hingga berjaya mengumpul £900 tunai iaitu kira-kira £15,000 nilai hari ini (RM 81,840).
Setahun kemudian, pada usia 19 tahun, beliau menaiki kereta api dari North Wales menuju London untuk melihat sebuah DB5 tahun 1965 yang diiklankan dalam majalah Motorsport.
Dari Kereta Idaman Menjadi Teman Hidup
DB5 tersebut bukan sembarangan unit. Ia sebuah model pacuan kanan dengan enjin Vantage, karburetor Weber, rim bercorak dawai dan cermin tingkap Sundym elektrik, spesifikasi yang diburu hingga hari ini.
John membelinya serta-merta dan memandu pulang ke Wales dengan penuh bangga.
Kereta itulah yang menemani beliau ke tempat kerja dan ke mana sahaja selama hampir empat tahun.
Tetapi pada 1977, selepas mendapat pekerjaan di Timur Tengah, DB5 itu ditinggalkan di halaman rumah. Masa terus berlalu dan kereta tersebut semakin lusuh.
Namun John tetap enggan menjualnya walaupun menerima banyak tawaran dan kadang-kadang memerlukan wang.
Isterinya, Sue, selalu mengingatkan, “awak takkan dapat yang lain macam ini.”
DB5 itu juga turut menjadi tempat bermain kanak-kanak jiran sehingga ada yang melantun atas bonet dan mematahkan paip ekzos.
Baik Pulih Yang Memerlukan Ketelitian
Apabila tiba masa untuk menghidupkan semula kereta tersebut, pilihan pasangan Williams hanya satu iaitu Aston Martin Works di Newport Pagnell, iaitu lokasi asal lebih 13,000 unit model ikonik Aston Martin dihasilkan.
Kerja baik pulih bermula pada hujung 2022 dan mereka kerap datang mengikuti perkembangan melalui fasa kerja badan asas, pemulihan casis, rangka Superleggera serta panel aluminium yang dibentuk sepenuhnya dengan tangan.
Melihat proses yang dilakukan, Sue terpegun melihat rupa baharu DB5 manakala John bangga apabila melihat teknik pembinaan tradisional Aston Martin masih diwarisi oleh juruteknik muda.
Sebuah DB5 Yang Semakin Jarang Ditemui
DB5 1965 milik keluarga Williams ini sebenarnya satu kombinasi yang sangat sukar ditemui.
Daripada 1,022 unit DB5 yang dihasilkan di antara 1963 hingga 1965 hanya 887 ialah model saloon.
Lebih jarang lagi hanya 39 unit disiapkan dengan gabungan warna Silver Birch, enjin Vantage dan pacuan kanan seperti milik mereka.
Ia juga mempunyai sejarah pemilikan awal yang menarik kerana pemilik pertama tinggal di kawasan eksklusif St George’s Hill, Surrey, kediaman selebriti seperti John Lennon dan Ringo Starr pada era tersebut.
Hasil Akhir Yang Layak Digelar Lebih Baik Dari Baharu
Presiden Aston Martin Works, Paul Spires, menyifatkan projek ini sebagai antara yang paling bermakna.
Kereta itu tiba dalam keadaan amat uzur tetapi mereka tidak gentar. Lebih 2,500 jam kerja diperlukan merangkumi jabatan Panel, Paint, Trim dan Heritage dengan sokongan penuh jabatan alat ganti.
Menurut Spires, hasil akhir DB5 ini bukan sahaja mengembalikan keadaan asal malah menyamai atau mungkin melepasi tahap ketika ia baharu keluar dari kilang.
Melihat kepada spesifikasi unik dan sejarah pemilikannya, nilai kereta itu boleh mencecah sehingga £1 juta (RM5.45 juta) jika ditawarkan ke pasaran.
Kembali Hidup Selepas Setengah Abad
Ketika melihat DB5 tersebut dalam keadaan siap sepenuhnya, John tidak mampu menyembunyikan rasa terharu.
Penantian hampir 50 tahun itu akhirnya terbayar apabila beliau kembali memandu kereta yang pernah menjadi kegembiraan masa mudanya.





































