Utama Berita Automotif MG GO – hatchback EV tampil sporti lancar pada 2027, bakal masuk...

MG GO – hatchback EV tampil sporti lancar pada 2027, bakal masuk Malaysia?

7

MG mencuri tumpuan di Goodwood Festival of Speed 2026 menerusi pengenalan global dua model konsep elektrik baharu, MG GO! dan MG Cyber Concept, yang memberi bayangan hala tuju masa depan jenama itu.

Kedua-dua model tersebut dibangunkan sebagai gabungan identiti sporti MG yang sudah berusia lebih 100 tahun dengan teknologi kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) dan pemanduan pintar.

MG turut mempamerkan enam model Plug-in Hybrid (PHEV), Hybrid+ dan EV, di samping demonstrasi teknologi AI menerusi persembahan Future Motion Show yang menampilkan robot pintar.

MG GO! bayangan hatchback elektrik segmen B pada 2027

MG GO! ialah kereta konsep hatchback elektrik segmen B yang bakal menjadi asas kepada model produksi dijadualkan dilancarkan pada 2027.

Model ini direka sepenuhnya oleh pasukan MG Design Centre London yang diketuai Pengarah Reka Bentuk, Carl Gotham.

Reka bentuknya menggabungkan elemen retro futuristik yang diinspirasikan daripada model klasik MG pertengahan abad ke-20 seperti MGB GT, namun diterjemahkan dalam gaya moden tanpa bergantung kepada elemen nostalgia semata-mata.

Menurut MG, konsep itu dibangunkan untuk menawarkan sebuah hatchback kompak yang mempunyai identiti tersendiri, karakter menarik serta mampu mewujudkan hubungan emosi dengan pemiliknya.

Antara model yang menjadi inspirasi kepada MG GO! ialah:

  • MGB GT
  • MG Metro Turbo
  • MG ZR
  • MG EX4

Carl Gotham berkata MG GO! bukan sekadar mengimbau masa lalu, sebaliknya mengekalkan daya tarikan dan karakter unik MG dalam bentuk yang lebih relevan untuk generasi baharu.

MG Cyber Concept bayangan SUV prestasi elektrik segmen D

Sebuah lagi model yang membuat penampilan sulung ialah MG Cyber Concept, sebuah SUV prestasi elektrik segmen D yang dibangunkan sebagai model andalan masa depan MG.

Konsep ini mengambil inspirasi daripada dua bab penting dalam sejarah MG iaitu usaha mengejar kelajuan yang diterjemahkan menerusi kereta pemecah rekod kelajuan darat legenda EX181, serta semangat inovasi dan pembaharuan yang terus membentuk MG hari ini.

Cyber Concept mengembangkan falsafah tersebut ke segmen baharu sebagai sebuah SUV elektrik berprestasi tinggi.

Model ini menggabungkan praktikaliti kenderaan moden dengan daya tarikan emosi, karakter dinamik serta pengalaman pemanduan yang biasanya dikaitkan dengan kereta sports.

Model ini dibangunkan untuk menawarkan keseimbangan antara kegunaan harian dan keseronokan pemanduan, sama ada untuk kegunaan di bandar, perjalanan jarak jauh mahupun laluan yang lebih mencabar.

Dari sudut reka bentuk, Cyber Concept menampilkan:

  • Perkadaran badan yang bertenaga
  • Kedudukan badan yang meyakinkan
  • Permukaan badan yang diolah bagi menyerlahkan ciri atletik dan sofistikated
  • Penampilan berkarakter dengan elemen sporti

Naib Presiden Reka Bentuk Global MG, Jozef Kabaň berkata reka bentuk yang baik bukan sekadar mengenai teknologi atau produk, tetapi perlu mempunyai identiti tersendiri yang mampu mewujudkan hubungan emosi dengan pengguna.

Bakal masuk Malaysia?

Kedua-dua model konsep ini menggambarkan visi kejuruteraan dan teknologi MG dalam membawa warisan sporti ke masa depan, menerusi gabungan reka bentuk berkarakter, prestasi serta teknologi elektrik dan pintar generasi baharu.

Melalui pengenalan ini, satu yang menarik sekiranya kedua-dua model ditawarkan di pasaran tempatan dan mengisi ruang di antara produk MG lain.

Pamer teknologi AI dan enam model produksi

Selain dua model konsep berkenaan, MG turut mempamerkan keupayaan teknologi AI, pemanduan autonomi pintar serta sistem ketersambungan menerusi Future Motion Show yang menggunakan robot generasi baharu.

Pada masa sama, enam model produksi MG turut dipamerkan, iaitu:

  • MGS9 PHEV
  • MG4 EV Urban
  • MG HS Plug-in Hybrid
  • MG ZS Hybrid+
  • MG IM5
  • MG Cyberster

MG turut membawa MGS9 PHEV, MGS6 EV dan MG Cyberster menyertai aksi mendaki bukit ikonik Goodwood Festival of Speed (Hill Climb).

MG GO 

MG Cyber Concept

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here