Seorang pemilik kereta elektrik (EV), BYD Atto 3 berkongsi detik cemas apabila hatchback tersebut
membrek secara mengejut ketika dipandu di lorong kanan lebuh raya.
Menerusi akaun Facebook, Nur Afifah Abdul Rahim yang mewakili suaminya (sebagai pemilik) berkongsi insiden yang berlaku pada 1 Mei itu terjadi ketika perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang.
Katanya sewaktu di Lebuh Raya Cheras-Kajang, sistem membrek secara tiba-tiba tanpa mengeluarkan sebarang amaran.
“Di skrin panel kereta pula menunjukkan “Power System Failure” dan keempat-empat tayar kereta seperti di kunci.
“Beberapa kereta hampir kemalangan kerana mengelak dari merempuh kereta kami yang tiba-tiba berhenti di lorong kanan,” katanya.
Dia, lanjutnya masih trauma dengan kejadian itu dan cuba menghidupkan dan mematikan enjin namun tidak berhasil.
Lebih merumitkan situasi, kereta tidak boleh ditolak ke tepi walaupun
tombol gear ditukar kepada ‘N’.
BERPUNCA DARIPADA BATERI 12 VOLT

Kemudian kereta tersebut ditunda ke
BYD Glenmarie Shah Alam, hasil pemeriksaan mendapati ia berpunca daripada
bateri 12 volt yang mengambil masa beberapa hari untuk pembaikan.
Pada 5 Mei, pihak servis menyatakan bahawa susulan voltan yang rendah pemilik perlu menggantikan
bateri baharu.
“Agak terkejut juga kerana kereta ini baru berusia 10 bulan dan sudah mengalami masalah bateri. Kos penukaran bateri pula RM418 dan tiada warranti kerana kereta sudah lebih 20,000 km.
“Persoalan seterusnya, kenapa tiada sebarang amaran dan kereta terus brek mengejut, mereka menjawab memang tiada amaran atau indikasi jika bateri 12 volt bermasalah,” tulisnya.
PUNCA & SOLUSI

Sementara itu, berdasarkan carian di Internet, laman web
Zecar menyenaraikan beberapa masalah biasa yang bakal dihadapi pemilik Atto 3 dan bateri 12 volt merupakan salah satu daripadanya.
Menurut Zecar, bateri tersebut didatangkan standard dan biasanya akan bertahan secara purata 18 hingga 24 bulan sehingga ia memerlukan penggantian.
Ini adalah jangka masa yang agak pendek berbanding model kereta lain. Tanda-tanda bateri tersebut perlu diganti termasuk ketidakupayaan untuk menghidupkan kereta, skrin kosong dan lain-lain.
Apabila bateri berdepan
isu kehabisan cas (
draining) atau bermasalah, ia boleh menjejaskan pelbagai fungsi kereta termasuk sistem kuasa dan brek serta menghalang kereta daripada dihidupkan atau ditolak.
Jika bateri 12 volt didapati rosak, ia tidak dapat menyimpan cas dengan baik atau telah mencapai akhir jangka hayat secara pramatang. Seperti kes di atas, jadi pihak servis mencadangkan penggantian bateri baharu apabila voltan rendah.
Kos penggantian ini perlu ditanggung oleh pemilik jika di luar tempoh waranti atau had jarak perbatuan yang ditetapkan.
Selain itu, sekiranya bateri 12 volt hanya kehabisan cas (bukan rosak sepenuhnya), ia boleh dicas semula menggunakan pengecas luaran.
Namun, langkah itu hanya solusi sementara sekiranya ada masalah lain yang menyebabkan bateri itu cepat habis cas atau tidak dicas dengan betul oleh sistem kereta.
Ringkasnya, solusi segera biasanya adalah menggantikan bateri 12 volt jika rosak.
Tetapi untuk mengelak masalah berulang, adalah penting untuk mendiagnosis dan menyelesaikan punca utama mengapa bateri tersebut gagal atau kehabisan cas secara pramatang.