
BYD memasuki pasaran automotif Indonesia pada Januari 2024 menerusi pelancaran tiga model elektrik (EV) Atto 3, Dolphin dan Seal.
Walaupun masih setahun jagung, BYD menguasai pasaran EV nasional hampir 50 peratus pada suku pertama 2025.
Pemain baharu itu turut mengembangkan rangkaian pilihan tawaran produk menerusi model perdana M6 dan Sealion 7 bahkan turut melancarkan sub brand premium Denza melalui D9.
Langkah agresif itu menampakkan hasil yang mana Pengarah Operasi PT BYD Motor Indonesia, Nathan Sun menyatakan pengeluar China itu merekodkan jualan 8,200 unit bagi tempoh tiga bulan pertama 2025.
“Ia menyumbang kepada 50 peratus perkongsian pasaran EV nasional.
“Ini mengukuhkan peralihan publik pada kenderaan tenaga boleh diperbaharui serta kepercayaan pada jenama BYD sebagai pendahulu kereta elektrik global,” katanya.
Tidak mahu leka, BYD komited untuk mengukuhkan kehadirannya di Indonesia.
Nathan menegaskan bahawa syarikat akan menambah barisan produk yang sesuai dengan keperluan pengguna Indonesia dan pada masa sama mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan penyelesaian mobiliti mesra alam yang mampan.
“Kami bersedia untuk mengembangkan barisan produk di Indonesia dan terus menggalakkan misi global kami untuk menawarkan kenderaan mesra alam,” katanya.