Utama Berita Automotif Demi beli diesel, sanggup bawa mayat ke stesen minyak

Demi beli diesel, sanggup bawa mayat ke stesen minyak

9

Gara-gara dinafikan pembelian diesel, seorang pengurus mayat di Thailand terpaksa membawa bersama keranda ke sebuah stesen minyak untuk membuktikan bahawa pembelian bahan api tersebut bagi tujuan pembakaran, bukan menyorok bekalan di tengah-tengah krisis minyak akibat perang Amerika-Iran.

Kebanyakan kuil Buddha di Thailand bergantung kepada relau berkuasa diesel untuk pembakaran mayat dan kekurangan bekalan telah menyebabkan pusat krematorium bergelut untuk menjalankan upacara pengebumian.

Pemuda yang hanya dikenali sebagai Preecha itu berkata dirinya dihalang ketika cuba membeli diesel menggunakan bekas simpanan, di tengah-tengah krisis yang semakin meruncing berkaitan dengan perang di Timur Tengah.

Insiden tersebut disiarkan melalui Facebook Live, menunjukkan pengurus mayat itu membuka bahagian belakang trak pikapnya untuk mendedahkan sebuah keranda berisi mayat sebagai bukti. 

Dia memberitahu pekerja stesen, amat memerlukan diesel untuk menjalankan proses pembakaran mayat.

Preecha, 48 yang bekerja di sebuah kuil di daerah Ban Bueng berkata telah menguruskan pembakaran mayat sejak 2005, ketika krematorium masih menggunakan arang.

Ia kemudiannya dinaik taraf kepada sistem berkuasa diesel dan dia secara rutin membeli bahan api dalam tiga bekas dari stesen minyak yang sama selama bertahun-tahun tanpa sebarang masalah, lapor Bangkok Post.

Dia kembali ke stesen minyak tersebut pada hari Ahad selepas tidak dibenarkan membeli bekalan. Apabila pekerja stesen sekali lagi enggan menjual diesel bernilai THB 2,000 kepadanya, dia meminta mereka memeriksa bahagian belakang kenderaan. 

“Ini kali pertama saya terpaksa melakukan perkara sebegini.

“Saya faham mereka cuba menghalang aktiviti menyorok bekalan, tetapi kami benar-benar memerlukan bahan api ini untuk menjalankan pembakaran mayat,” ujarnya. 

Thailand, seperti kebanyakan negara jiran di Asia bergantung kepada eksport tenaga dari Timur Tengah dan kini berada di barisan hadapan krisis tenaga yang dicetuskan oleh perang.

Banyak daerah di negara itu menyaksikan orang ramai berbaris panjang menunggu untuk mendapatkan bahan api, dengan papan tanda kehabisan stok mula kelihatan di pam-pam minyak.

Kerajaan telah menaikkan harga diesel kepada THB38.94 seliter pada hari Khamis, sekali gus menamatkan subsidi bahan api. Harga tersebut telah meningkat daripada THB29.94 seliter berbanding paras sebelum perang.

Bagaimanapun, kerajaan Thailand menyatakan bahawa ia mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk tempoh 100 hari.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here