Utama Berita Automotif Volkswagen ID. Polo GTI baharu, GTI elektrik pertama, 226PS jarak sehingga 424km

Volkswagen ID. Polo GTI baharu, GTI elektrik pertama, 226PS jarak sehingga 424km

4

Volkswagen memperkenalkan ID. Polo GTI serba baharu yang menjadi model GTI elektrik pertama dalam sejarah 50 tahun jenama GTI. 

Model ini membuat kemunculan sulung ketika perlumbaan 24 Jam Nürburgring dan dijadual memulakan jualan awal di Jerman pada musim luruh (September – November) depan pada harga sekitar bawah €39,000 (RM179,000).

Volkswagen menyifatkan ID. Polo GTI sebagai GTI era baharu yang menggabungkan karakter 100 peratus elektrik dan 100 peratus GTI dalam sebuah hatchback sport kompak yang sangat lincah serta sesuai digunakan setiap hari.

Rangkaian kuasa elektrik dan prestasi

ID. Polo GTI menggunakan sistem pacuan APP290 bersama motor elektrik yang menghasilkan 166kW (226PS) dan 290Nm.

Kuasa itu membolehkan pecutan 0 hingga 100km/j dicapai dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 175km/j.

Seperti Golf GTI pertama yang diperkenalkan pada tahun 1976, kuasa ID. Polo GTI disalurkan ke roda hadapan.

Tork maksimum tersedia dengan pantas dan sentiasa berada dalam keadaan optimum bagi memberikan pengendalian lebih dinamik serta karakter pemanduan yang mengekalkan identiti GTI tradisional.

Kuasa tersebut turut disalurkan secara lebih efektif menerusi sistem kunci pembeza elektronik gandar hadapan.

Mod pemanduan GTI dan talaan casis

Volkswagen turut memperkenalkan mod pemanduan GTI baharu yang diaktifkan menerusi butang pada stereng. Paparan pada skrin juga berubah kepada grafik dan tema warna khas GTI.

Apabila mod itu diaktifkan, semua sistem pemanduan dan casis ditukar kepada talaan paling sporti termasuk penghantaran kuasa motor elektrik, stereng progresif dan suspensi sport adaptif DCC.

Selain itu, suspensi sport adaptif DCC dan stereng progresif dibangunkan khusus untuk model ini.

Volkswagen menyatakan gabungan talaan casis tersebut mengekalkan rasa pemanduan GTI sebenar pada GTI elektrik pertama ini.

Bateri dan pengecasan

Sistem pacuan ID. Polo GTI menerima bekalan kuasa daripada bateri nikel mangan kobalt (NMC) dengan kapasiti bersih 52kWj.

Bateri tersebut memberikan jarak gerak WLTP sehingga 424km dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 105kW.

Lengkung pengecasan yang konsisten membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam sekitar 24 minit di stesen pengecas pantas DC.

Rekaan luaran GTI moden

ID. Polo GTI menggunakan bahasa rekaan Pure Positive terkini Volkswagen dengan penampilan kemas dan agresif.

Bahagian hadapan menampilkan jalur merah ikonik GTI yang merentasi hampir keseluruhan lebar kereta bersama logo GTI tiga dimensi di sebelah kiri.

Di atasnya terdapat jalur lampu LED melintang bersama logo VW bercahaya dan lampu utama IQ.LIGHT LED matriks standard.

Bahagian bawah pula menerima liang pengambilan udara bercorak sarang lebah GTI bersama elemen menegak merah pada kedua dua sisi yang diinspirasikan daripada cangkuk tunda jentera perlumbaan.

Profil sisi ID. Polo GTI menampilkan rekaan tegap dengan tiang C yang diinspirasikan daripada Golf pertama bagi mengekalkan identiti klasik Volkswagen.

Garis bahu tingkap turut berfungsi sebagai elemen penstabil visual pada reka bentuk sisi.

Bahagian belakang pula menerima spoiler bumbung unik yang terbahagi dua di tengah dan eksklusif untuk model GTI.

Lampu belakang IQ.LIGHT menggunakan dua elemen LED tiga dimensi pada setiap sisi dengan bahagian lutsinar di antara lampu dan logo VW turut bercahaya merah khusus untuk GTI.

Peresap belakang hitam dua bahagian pula memberikan penampilan lebih sasa.

Volkswagen menyatakan identiti GTI model ini tetap jelas dikenali walaupun tanpa tiga huruf ikonik GTI pada bahagian belakang.

Dalaman bertemakan GTI klasik

Gabungan warna merah dan hitam menguasai ruang kabin ID. Polo GTI.

Stereng sport GTI baharu menerima jahitan merah bersama penanda merah pada jarum 12 seperti jentera perlumbaan. Jalur merah nipis turut merentasi papan pemuka.

Jahitan merah turut digunakan pada panel pintu, tempat duduk sport premium depan dan tempat duduk belakang.

Bahagian tengah tempat duduk menggunakan fabrik bercorak kotak-kotak yang diinspirasikan daripada GTI klasik terdahulu.

Logo GTI merah disepadukan pada perehat kepala tempat duduk depan dan turut dipaparkan dalam bentuk bercahaya pada stereng pelbagai fungsi.

Stereng itu juga dilengkapi pedal baharu untuk melaras tahap sistem pemulihan tenaga.

Susun atur kokpit ID. Polo GTI menggabungkan meter digital dan skrin maklumat hibur pada satu garis visual.

Skrin Digital Cockpit bersaiz 10.25 inci menawarkan beberapa mod paparan termasuk mod retro yang menukar grafik meter kepada gaya Golf I klasik.

Skrin maklumat hibur bersaiz 12.9 inci pula menggunakan grafik tambahan bertemakan Golf I apabila mod retro diaktifkan.

Antara paparan khas termasuk grafik lagu berbentuk kaset yang diinspirasikan daripada era 1980an.

Ruang dalaman lebih praktikal

Penggunaan modul pacuan yang sangat kompak membantu ID. Polo GTI menawarkan ruang dalaman 19 mm lebih luas berbanding Polo GTI enjin pembakaran dalaman.

Ruang kepala dan lebar kabin turut dipertingkat, manakala kapasiti ruang kargo meningkat lebih 25 peratus daripada 351 liter kepada 441 liter.

Apabila tempat duduk belakang dilipat, kapasiti muatan meningkat kepada 1,240 liter berbanding 1,125 liter pada Polo GTI generasi MQB.

Model ini turut dilengkapi penunda boleh tanggal dengan beban menegak sehingga 75kg yang mampu membawa rak basikal bersama dua basikal elektrik.

Keupayaan menunda pula sehingga 1.2 tan bagi treler jenis brek pada cerun 12 peratus.

Sistem bantuan pemandu

ID. Polo GTI hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemandu moden hasil penggunaan platform MEB+ dan perisian generasi terkini.

Antara ciri pilihan ialah generasi baharu Connected Travel Assist yang menggunakan data dalam talian untuk bantuan stereng dan kawalan kelajuan.

Sistem itu juga mampu mengesan lampu isyarat merah dan membrek kenderaan hingga berhenti secara automatik dalam had operasi sistem.

Volkswagen turut memperkenalkan fungsi pemanduan satu pedal yang membolehkan nyahpecutan pantas dilakukan hanya melalui kawalan pedal pendikit.

Kelengkapan pilihan

Antara kelengkapan pilihan ditawarkan termasuk sistem audio Harman Kardon dengan output 425W dan 10 pembesar suara dengan pembesar suara tengah serta subwufer.

Turut tersedia bumbung panoramik dan fungsi urut pneumatik untuk tempat duduk depan larasan elektrik 12 hala.

Volkswagen turut menawarkan tayar sport premium Bridgestone Potenza Sport bersaiz 235/40 R19 yang dibangunkan khusus untuk pemandu yang mahukan pengalaman lebih dinamik.

Spesifikasi Ringkas Volkswagen ID. Polo GTI

  • Platform MEB+, motor elektrik pacuan roda hadapan
  • Kuasa 166kW (226PS), 290Nm
  • Kelajuan maksimum 175km/j
  • Pecutan 0 hingga 100km/j dalam 6.8 saat
  • Bateri 52kWj
  • Pengecasan DC maksimum 105kW
  • Penggunaan tenaga WLTP 16.4 hingga 14.4kWj/100km
  • Jarak gerak WLTP sehingga 424km
  • Dimensi 4,096 mm panjang, 1,816 mm lebar, 1,513 mm tinggi, jarak roda 2,599 mm
  • Berat minimum 1,540kg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here