
Mercedes-Benz Cars Malaysia mengukuhkan kedudukan dalam segmen berprestasi tinggi menerusi pengenalan dua model terbaharu, Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dan Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé.
Pelancaran dua model ikonik itu berlangsung sempena kembalinya saingan Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017, sekali gus menampilkan dua pendekatan berbeza dalam evolusi teknologi prestasi – enjin pembakaran dalaman V8 dan seni bina elektrik berprestasi tinggi AMG.EA.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia, Martin Schulz berkata, jenama AMG bukan sekadar memfokuskan kepada angka prestasi, sebaliknya menekankan pengalaman dan emosi pemanduan.
“AMG GT 63 PRO membawa pengalaman sebenar litar perlumbaan ke jalan raya, manakala GT 63 4-Door membuktikan semangat yang sama mampu diterjemahkan ke era elektrifikasi,” katanya pada sesi pengenalan model berkenaan.
Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé mengekalkan nadi berprestasi tinggi menerusi enjin 4.0 liter V8 biturbo yang menjana 450 kW (612 hp) dan tork 850 Nm.
Dipadankan dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+, jentera itu mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 3.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 317 km/j.
Bagi memastikan prestasi konsisten di litar, Mercedes-AMG melakukan penambahbaikan menyeluruh membabitkan sistem penyejukan, aerodinamik aktif dan sistem brek karbon seramik berprestasi tinggi.

Sementara itu, Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé menjadi model pertama menggunakan platform elektrik khusus AMG.EA dengan tiga motor elektrik axial-flux yang menghasilkan output sehingga 860 kW (1,169 hp) dan tork maksimum 2,000 Nm.
Dilengkapi bateri berkapasiti 106 kWh, model empat pintu itu mampu memecut 0 hingga 100 km/j sepantas 2.4 saat dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 697 kilometer mengikut kitaran WLTP.
Ketua Pegawai Operasi Mercedes-Benz Cars Malaysia, Kevin Barbian berkata, kedua-dua model itu membuktikan keluasan keupayaan kejuruteraan AMG merentasi dua era teknologi.
“GT 63 PRO menawarkan pengalaman V8 yang lebih fokus untuk litar, manakala GT 63 4-Door memperkenalkan teknologi tiga motor axial-flux dan sistem 800 volt yang menekankan prestasi berterusan, bukan sekadar kuasa puncak,” katanya.
Model elektrik itu turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, membolehkan pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 16 minit.
Di pasaran Malaysia, Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé ditawarkan pada harga anggaran bermula RM2.09 juta, manakala GT 63 4-Door Coupé bermula RM1.29 juta.
Mercedes-Benz turut menawarkan edisi eksklusif GT 63 PRO Motorsport Collectors Edition yang terhad kepada 200 unit di seluruh dunia, pada harga anggaran RM2.59 juta.




