
Majlis Amanah Rakyat (MARA) meletakkan sasaran tinggi untuk melonjakkan nilai jualan usahawan automotif Bumiputera melebihi RM1 bilion pada tahun hadapan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi semasa yang amat memberangsangkan, dengan 534 usahawan automotif di bawah bimbingan MARA berjaya merekodkan nilai jualan melebihi RM660 juta setakat tahun ini.
“Daripada jumlah ini sahaja, kita sudah mewujudkan lebih 2,403 peluang pekerjaan. Saya yakin, dengan sinergi bersama rakan strategik industri, sasaran RM1 bilion itu mampu kita capai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 di Busana MARA, semalam.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan agenda MARA dalam sektor automotif bukan sekadar melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi untuk mengangkat Bumiputera ke peringkat lebih tinggi sebagai usahawan dan pemain utama industri.
Jelasnya, MATEC 2026 yang akan berlangsung di Bukit Jalil dari 27 hingga 29 November depan, akan menjadi platform strategik yang menghimpunkan keseluruhan ekosistem automotif dalam satu rangkaian.
“MATEC bukan sekadar pameran. Ia adalah jambatan yang menghubungkan usahawan, pemain industri, institusi TVET, teknologi, bakat, institusi kewangan, agensi kerajaan dan pasaran dalam satu ekosistem yang lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kekal menjadi teras utama MARA dalam melahirkan modal insan automotif.

Daripada 395 institusi pendidikan MARA di seluruh negara, sebanyak 270 institusi memberi fokus kepada TVET, dan 30 peratus daripadanya tertumpu khusus kepada sektor automotif.
“Di GiatMARA sahaja, hampir kesemua 222 cawangan di seluruh negara menawarkan program berkaitan automotif. Ini membuktikan bidang ini antara yang paling mendapat sambutan dalam kalangan pelajar Bumiputera,” ujarnya.
Tambah beliau, latihan yang ditawarkan merangkumi kemahiran asas hingga teknologi tinggi termasuk kenderaan elektrik, dengan laluan pendidikan berterusan sehingga ke peringkat Universiti Kuala Lumpur dan institusi penyelidikan di Jerman.
Asyraf Wajdi turut menekankan kepentingan kerjasama strategik rentas industri bagi memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam rantaian nilai automotif.
“MARA tidak boleh bergerak bersendirian. Kita perlu memperkukuh sinergi dengan rakan industri yang mempunyai kepakaran khusus bagi meluaskan penguasaan Bumiputera dalam setiap rantaian sektor keusahawanan automotif dan permotoran,” katanya.






























