
Selepas mencuri tumpuan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, SUV lasak JETOUR G700 kini bersedia mengharungi ujian sebenar di medan paling mencabar di dunia.
JETOUR Auto mengumumkan kerjasama strategik bersama Discovery menerusi siri Adventure of Extremes Musim 2, yang menyaksikan G700 menjadi kenderaan pengembaraan utama bagi penjelajah dan pakar survival terkenal dunia, Ed Stafford.
Siri pengembaraan itu akan membawa penonton merentasi belantara terpencil, kawasan pergunungan lasak dan landskap gunung berapi aktif di tiga benua, sekali gus menjadi pentas membuktikan keupayaan sebenar G700 di luar demonstrasi konvensional.
Sepanjang eksplorasi tersebut, G700 akan berfungsi sebagai pangkalan bergerak Stafford, dalam usaha mengharungi persekitaran paling ekstrem di dunia.
Stafford, yang digelar Modern Robinson Crusoe selepas mencipta sejarah sebagai individu pertama menyusuri Sungai Amazon dengan berjalan kaki, sebelum ini mencipta fenomena global menerusi Marooned with Ed Stafford: Chapter of Water yang mencatat 360 juta tontonan di seluruh dunia pada 2025 dan merangkul Anugerah Emas kategori Reality Series di Telly Awards 2025.
Untuk siri terbaharu Marooned with Ed Stafford: Chapter of Fire, beliau akan mengharungi cabaran survival solo tanpa makanan, peralatan dan kru kamera di Ecuador, Colombia, Maghribi dan Iceland.
Persekitaran ekstrem yang sama menjadi latar belakang Adventure of Extremes Musim 2, di mana ketahanan, prestasi pacuan semua roda dan kejuruteraan G700 akan diuji secara langsung bersama Stafford.
Menurut JETOUR, kerjasama itu mencerminkan kesamaan semangat penerokaan antara Stafford dan falsafah jenama itu, Beyond the Horizon – iaitu keberanian melangkaui batasan dan meneroka sesuatu yang belum diketahui.
Berlandaskan strategi Travel+, JETOUR menegaskan pendekatan siri tersebut bukan sekadar mempamerkan spesifikasi di atas kertas, sebaliknya membuktikan keupayaan kenderaan melalui ujian dunia sebenar dalam keadaan alam semula jadi yang tidak dapat dijangka.
Penonton di Malaysia berpeluang mengikuti pengembaraan Stafford dan G700 yang menggabungkan elemen survival ekstrem dan pemanduan off-road tegar di lokasi-lokasi paling mencabar.
Episod-episod pendek Adventure of Extremes Musim 2 akan mula disiarkan pada Ogos 2026 secara berperingkat di platform Discovery.
Maklumat lanjut mengenai JETOUR Malaysia boleh didapati di laman web https://jetour.com.my/ serta media sosial rasmi Jetour Auto Malaysia di Facebook, Instagram dan TikTok.































