
Dalam pasaran SUV segmen C yang sudah padat dengan nama besar seperti Honda CR-V, Proton X70 dan Mazda CX-5, kemunculan Jetour Dashing dari China memberikan nafas baharu untuk pasaran tempatan.
Boleh dikatakan kini, semakin banyak lambakan kenderaan SUV. Namun, ia memberi satu berita baik kerana pengguna diberikan pelbagai menu untuk membuat pilihan.
Sudah pastinya, pengeluar yang menawarkan kenderaan berkualiti dengan ciri teknologi terkini serta harga mampu milik menjadi pilihan utama pengguna.
Berbaloi Untuk Dimiliki
Sebelum ini, penulis berpeluang menguji sendiri Jetour DashingΒ di jalan raya. Ternyata ia boleh dikatakan sebuah kenderaan yang berbaloi untuk dimiliki.
Biarpun sesi pandu uji hanya dilakukan sehari dengan perjalanan dari Ara Damansara ke Sekinchan, Selangor. Namun bagi penulis, ia sudah cukup untuk memberi gambaran awal terhadap karakter kenderaan berkenaan.
Jetour Dashing dikuasakan oleh enjin 1.5L turbocharged 4-silinder, menghasilkan 156PS dan 230Nm tork, dipadankan dengan transmisi Dual Clutch 6-kelajuan (DCT) dan pacuan roda depan (FWD).
Walaupun angka kuasa kelihatan konservatif atas kertas, bagi penulis, penghantaran kuasa cukup lancar β terutamanya dalam julat rpm pertengahan.
Kotak gearnya bertindak balas dengan pantas tanpa sebarang gangguan dan enjin juga senyap dalam pemanduan normal.
Cuma, apabila menekan pedal minyak secara agresif, kuasa yang dibekalkan terasa sedikit kurang. Namun bagi penulis, itu mungkin satu daripada ciri keselamatan untuk memastikan kenderaan tidak menjadi βliarβ di jalan raya.
Suspensi Selesa
Suspensi Jetour Dashing pula lebih kepada talaan comfort-oriented, jadi serapan hentakan adalah baik ketika melalui jalan tidak rata atau bonggol. Body roll sedikit ketara apabila mengambil selekoh pantas, tetapi masih dalam tahap boleh diterima untuk SUV keluarga.
Sejujurnya, penulis memang sukakan suspensi yang lembut kerana ia memberi keselesaan, terutama ketika melalui permukaan jalan berlubang atau tidak rata yang sememangnya biasa di Malaysia, betul?
Sistem stereng pula ringan, sangat sesuai untuk kegunaan harian, terutamanya di kawasan bandar dan semasa parkir.
Dari sudut reka bentuk dalaman, Jetour Dashing adalah antara SUV segmen C yang paling mengujakan dalam kelasnya. Ia tampil moden dan futuristik, dengan skrin infotainmen 15.6 inci, skrin digital meter kluster serta rekaan papan pemuka gaya terapung.
Semua ciri ini semestinya memberi nilai tambah kepada bakal pemiliknya.
Ciri dalaman itu diinspirasikan daripada reka bentuk rumah tradisional China, digabungkan dengan elemen kereta mewah buatan Jerman.
Selain itu, terdapat beberapa port pengecas USB tersedia, serta slot pengecas tanpa wayar 50W yang terletak di konsol tengah.
Ruang Simpanan Payung KecilΒ
Uniknya, ia turut menampilkan ruang simpanan payung kecil pada setiap panel pintu β mungkin terinspirasi daripada Rolls-Royce!
Sepanjang pandu uji, ruang tempat duduk belakang adalah yang paling βbestβ. Ia luas, lantai rata, dan penyandar belakang boleh laras, menjadikannya antara SUV paling selesa untuk penumpang baris kedua.
Dari segi luaran, rupa hadapannya cukup garang dengan gril besar dan unik. Bahagian atas menempatkan lampu DRL manakala bahagian bawahnya adalah lampu utama.
Pada bahagian sisinya pula, ia hadir dengan rim bersaiz 19 inci dengan mempunyai bahu pada bonet hadapan. Ia tampak sebuah kenderaan Porsche!Β
Bahagian belakangnya ia dipadankan dengan perumah lampu utama yang berbentuk anak panah yang memberi satu imej lain berbanding SUV yang lain. Sekurang-kurang anda boleh membezakan dengan SUV lain dengan mudah.
Dari aspek keselamatan, Jetour Dashing dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) sebagai ciri standard.
Namun untuk varian Prime yang dipandu penulis, ia menambah dua lagi beg udara menjadikan keseluruhannya enam unit, di samping ciri bantuan pemandu asas (ADAS) seperti:
-
Amaran penukaran lorong
-
Sistem pemantauan titik buta (BSM)
-
Amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
-
Sistem kamera sekeliling
Di pasaran Malaysia, Jetour Dashing dijual antara RM125,000 hingga RM135,000. Dengan kelengkapan, kemasan dan teknologi yang ditawarkan, ia memberikan nilai yang sangat kompetitif,Β khusus buat pembeli muda dan keluarga baharu yang mahukan gaya dan teknologi tanpa perlu berbelanja besar.