
Tindakan nekad seorang pemuda menunggang Yamaha Y15ZR tanpa sistem brek belakang dan cermin sisi memakan diri apabila kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka dalam Ops Teknikal Motosikal sekitar Bandar Melaka, Sabtu lalu.
Menurut kenyataan, pemeriksaan mendapati motosikal itu turut melakukan beberapa kesalahan teknikal yang membahayakan keselamatan.
Pihak penguatkuasa turut mendapati bahagian tayar yang digunakan haus dan tiada bunga yang selamat untuk tunggangan.
“Hasil pemeriksaan membongkar motosikal terbabit tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans yang sah.
“Malah, penunggang juga didapati tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL),” jelasnya.
JPJ Negeri Melaka menegaskan bahawa aspek teknikal sesebuah kenderaan bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan oleh mana-mana pengguna jalan raya.
Pihak jabatan memberi amaran bahawa pengoperasian kenderaan yang tidak selamat bukan sahaja mempertaruhkan nyawa pemandu atau penunggang, malah berisiko tinggi mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Susulan pelbagai kesalahan yang dikesan, motosikal berkenaan disita serta-merta di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut, manakala tindakan penguatkuasaan berterusan akan terus dipergiatkan bagi mengekang isu kenderaan tidak selamat di negeri berkenaan.






