Utama Berita Automotif OMODA C7 1.6T: Cantik Itu Satu Hal, Sedap Dipandu Itu Cerita Lain

OMODA C7 1.6T: Cantik Itu Satu Hal, Sedap Dipandu Itu Cerita Lain

1

OMODA C7 1.6T bukan sekadar tampil dengan reka bentuk futuristik, malah menawarkan pengalaman pemanduan yang selesa, pengendalian meyakinkan dan suasana kabin premium.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Tinggi, Pahang, memberi peluang kepada penulis untuk mengenali karakter sebenar SUV crossover ini. Biarpun pandu uji itu singkat, ia sudah cukup untuk memberi tanggapan awal bagi model berkenaan selepas disajikan laluan yang menggabungkan lebuh raya dan jalan berbukit.

Dari segi penampilan, OMODA C7 mengetengahkan gril parametrik tanpa bingkai dengan rekaan berbentuk X, dipadankan bersama sistem pencahayaan LED matriks. Gabungan ini memberikan identiti tersendiri yang moden dan sporty.

Enjin 1.6 Turbo, Prestasi Meyakinkan

OMODA C7 menggunakan enjin 1.6 liter TGDI turbo yang menghasilkan 183 hp dan tork 275 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik gear tujuh kelajuan klac berkembar basah (DCT).

Sepanjang perjalanan, enjin ini memberikan tindak balas yang meyakinkan, khususnya ketika memecut dan melalui laluan mendaki menuju ke Bukit Tinggi.

Penghantaran kuasanya sesuai untuk pemanduan santai, namun masih mempunyai tenaga mencukupi apabila diperlukan. Penggunaan bahan api yang dinyatakan pengeluar ialah 7.5 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran NEDC.

Boleh dikatakan, ia sudah cukup sesuai dijadikan kenderaan untuk pemanduan harian yang tanpa perlu rasa risau berhubung prestasinya. 

 

Keselesaan Antara Kekuatan Utama

Apa yang menarik perhatian penulis ialah tahap keselesaan yang ditawarkan. OMODA C7 memberikan pengalaman pemanduan yang menyenangkan, dengan pengendalian stabil dan karakter suspensi yang lebih mengutamakan keselesaan. Boleh dikatakan, banyak jenama daripada China menggunakan konsep berkenaan.

Antara teknologi yang digunakan ialah hydraulic control-arm bushings bagi membantu menyerap getaran jalan, selain dua hydraulic engine mounts untuk mengurangkan getaran enjin yang memasuki kabin.

Menurut OMODA, teknologi ini membantu mengurangkan bunyi jalan sebanyak 1.22 dB, manakala keselesaan pemanduan didakwa meningkat sehingga 32 peratus.

Ketika melalui laluan berselekoh menuju ke Bukit Tinggi, C7 memberikan keyakinan yang baik. Pengendaliannya tidak terlalu agresif, sebaliknya lebih menekankan keseimbangan antara kestabilan dan keselesaan. Cuma bagi anda di luar sana, perlu ingatkan bahawa pengendaliannya adalah fokus kepada keselesaan, bukannya untuk prestasi seperti memandu di Litar Antarabangsa Sepang. 

Kabin Premium, Teknologi Moden

Ruang dalaman OMODA C7 tampil dengan susun atur minimalis dan suasana premium. Skrin infotainmen 15.6 inci beresolusi 2.5K menjadi antara tarikan utama kabin.

Dari aspek keselamatan, C7 menawarkan 21 fungsi ADAS Tahap 2+, termasuk kawalan jelajah adaptif, bantuan mengekalkan lorong dan pemantauan titik buta. Ia turut dilengkapi kamera papan pemuka pintar terbina dalam serta sistem Event Data Recorder (EDR).

Kesimpulan

Secara keseluruhan, pengalaman memandu OMODA C7 1.6T dari Kuala Lumpur ke Bukit Tinggi memberikan tanggapan awal yang positif. Enjin turbo menawarkan prestasi yang mencukupi, pengendalian memberikan keyakinan, manakala tahap keselesaan menjadi antara kekuatan utamanya.

Bagi penulis, OMODA C7 bukan sekadar sebuah SUV yang menarik dari segi penampilan, tetapi juga sebuah kenderaan yang selesa dan menyenangkan untuk dipandu. Gabungan ini menjadikannya antara model crossover yang wajar diberikan perhatian dalam pasaran Malaysia. Bagi ulasan lengkap, tunggu selepas penulis diberi peluang memandunya dalam beberapa hari. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here