
Pengeluar automotif China, BAIC memperkenalkan Xingtan 5X menerusi dua pilihan rangkaian kuasa iaitu kenderaan elektrik bateri (BEV) dan plug-in hibrid (PHEV).
Jentera berkenaan pantas mencuri perhatian peminat automotif antarabangsa kerana reka bentuk luarannya yang sangat mirip dengan SUV ikonik Britain, Land Rover Defender.
BAIC melaporkan sebanyak 30,208 unit tempahan berjaya direkodkan dalam tempoh hanya 23 hari sejak pratempahan dibuka pada 21 Oktober lalu.
Ditawarkan dalam tujuh pilihan varian, tanda harga SUV berkenaan bermula daripada CNY129,900 hingga CNY174,900 (RM79,776 hingga RM107,412).
Sempena pelancaran, syarikat itu turut memberikan potongan harga sebanyak CNY3,000 (RM1,842) merentas semua varian.
Digelar “Defender Bajet” & “Defender Rakyat”

Susulan rupa paras kotak yang tegak dan bumbung rata seakan-akan siluet Defender pada harga mampu milik, media automotif China menyifatkan Xingtan 5X sebagai “alternatif Defender bajet” manakala netizen di media sosial tempatan memberi gelaran lebih tajam seperti “Defender rakyat” dan “Defender orang miskin”.
Berbeza dengan jentera sebenar Land Rover Defender yang lasak, Xingtan 5X dibangunkan lebih kepada konsep SUV keluarga untuk kegunaan harian di bandar serta pemanduan off-road ringan.
Xingtan 5X tampil gagah dengan dimensi 4,865 mm panjang (meningkat kepada 5,005 mm jika dipasang tayar ganti luaran di pintu belakang), 2,000 mm (lebar), dan 1,910 mm (tinggi) dengan jarak roda 2,875 mm.
Bahagian kabin varian asas dilengkapi skrin infotainmen bersaiz 15.6 inci dan paparan instrumen 8.8 inci, manakala varian tertinggi menerima tetapan dwi-skrin 15.6 inci yang dikuasakan cip pemprosesan berprestasi tinggi Qualcomm 8295P.
Pilihan Janaan Kuasa
-
BEV: Kesemua versi BEV menggunakan motor tunggal pacuan belakang berkuasa 227 kW (304 hp) yang dipadankan dengan bateri 81.9 kWh. Jarak gerak mencapai 625 km (CLTC), manakala seni bina elektrik 800-volt menyokong pengecasan pantas DC dari 30-80 peratus dalam masa 14.5 minit.
-
PHEV: Menggabungkan enjin 1.5 liter turbo bersama bateri 50.4 kWh. Versi pacuan dua roda (2WD) dijana motor 200kW (268 hp) dengan jarak perbatuan 310 km. Versi pacuan empat roda (4WD) dilengkapi motor kedua berkuasa 200 kW untuk menghasilkan output gabungan 400 kW (536 hp) serta jarak elektrik 285 km. Varian 4WD turut disertakan kunci pembeza mekanikal belakang dan fungsi crawl control.
Varian terpilih dilengkapi sistem bantuan pemanduan Huawei Qiankun ADS 5 Pro yang menggunakan 27 sensor, termasuk lidar keadaan pepejal yang dipasang di belakang cermin hadapan.
Fungsi Bantuan Pelayaran Navigasi Lebuh Raya disertakan secara standard pada varian berkenaan, manakala navigasi bandar memerlukan langganan berbayar.
Gelombang ‘Klon’ Defender & Risiko Saman JLR
Kemunculan Xingtan 5X meneruskan gelombang SUV dari China yang sering dibandingkan dengan Defender.
Sebelum ini, model iCaur V27 keluaran Chery turut menerima jolokan sama sehingga majalah automotif British, Auto Express menggelarnya sebagai Defender Temu menjelang kemasukannya ke pasaran United Kingdom pada awal 2027.
Sementara itu, gergasi EV BYD kini sedang berdepan pertempuran undang-undang dengan Jaguar Land Rover atas dakwaan model Ti 7 meniru reka bentuk Defender. Pada 11 November lalu, mahkamah di Belanda memerintahkan JLR memusnahkan rekod rampasan dari pejabat BYD dengan ancaman penalti sehingga EUR 500,000 jika ingkar.
BAIC sememangnya dikenali di China sebagai pengeluar yang sering menghasilkan rekaan ‘inspirasi’, termasuk model BJ80 dan BJ81 yang menyerupai Mercedes-Benz G-Class, serta generasi pertama BAIC BJ40 yang mengambil ilham daripada Jeep Wrangler.





























