Utama Berita Automotif AirBorneo lancar penerbangan Kuching–Jakarta

AirBorneo lancar penerbangan Kuching–Jakarta

8

Dengan tempoh penerbangan hanya kira-kira satu jam 30 minit dari Kuching, Jakarta kini lebih mudah dikunjungi rakyat Sarawak. 

Pada 13 November lalu, syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo memperluas rangkaian penerbangannya ke Jakarta menggunakan pesawat Boeing 737-800, sekali gus memperkenalkan pilihan perjalanan terus antara kedua-dua bandar raya berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata laluan berkenaan dirancang bukan sahaja untuk meningkatkan kesalinghubungan udara, malah menyokong pertumbuhan hubungan dua hala, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan antara Sarawak dengan Jakarta.

Dari sudut pelancongan, beliau berkata laluan itu memberi peluang kepada pelawat Indonesia meneroka Tapak Warisan Dunia UNESCO, keindahan hutan hujan tropika dan kepelbagaian festival di Sarawak.

“Pada masa sama, rakyat Sarawak dan Borneo berpeluang menikmati keunikan gastronomi, fesyen, industri kreatif serta gaya hidup metropolitan di Jakarta,” katanya. 

Perkhidmatan penerbangan terus Kuching-Jakarta itu beroperasi tiga kali seminggu iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad dengan tambang promosi bermula RM399 bagi kelas ekonomi dan RM888 bagi kelas perniagaan.

Menambah keunikan pengalaman perjalanan, penumpang turut disajikan dengan hidangan ikonik Bumi Kenyalang seperti mi kolok, nasi ayam pansuh dan laksa Sarawak goreng.

Sentuhan cita rasa tempatan itu bukan sahaja memberikan kelainan kepada pengalaman penerbangan, malah menjadi antara cara memperkenalkan kekayaan gastronomi Sarawak kepada pelancong dari luar negara.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here