
AirBorneo akan mengekalkan tambang sehala RM375 termasuk semua caj bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching sepanjang tahun sebagai sebahagian daripada usaha menstabilkan tambang penerbangan dan memberikan nilai yang lebih baik kepada penumpang, terutama rakyat Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata promosi itu ditetapkan selepas analisis penetapan harga dibuat berdasarkan data bagi tempoh enam bulan lepas.
Beliau berkata syarikat penerbangan itu turut mengambil kira turun naik harga bahan api dan perbandingan penanda aras dengan syarikat penerbangan lain yang mengendalikan laluan sama.

“Kami mengambil kira tempoh enam bulan pertama yang menyaksikan ketidaktentuan harga bahan api yang memberi kesan kepada penetapan harga. Kami juga meneliti purata tambang tahun lepas serta purata tambang yang lebih rendah.
“Apabila membuat perbandingan penanda aras, kami membandingkan purata tambang yang lebih rendah yang ditawarkan oleh semua syarikat penerbangan yang mengendalikan laluan Kuala Lumpur-Kuching. Tambang RM375 berada dalam julat itu,” katanya.
Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu baru-baru ini membuka jualan tiket bagi laluan ke Kuala Lumpur, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usahanya mempertingkatkan kesalinghubungan udara antara negeri berkenaan dengan Semenanjung.
Perkhidmatan baharu itu akan beroperasi dua kali sehari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1.
Bagi meraikan pelancarannya, AirBorneo menawarkan tambang “Sarawakku Sayang” bermula daripada RM375 termasuk semua caj bagi tiket sehala Kelas Ekonomi dan RM736 termasuk semua caj bagi tiket sehala Kelas Perniagaan, merangkumi cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api.
Megat Ardian Wira berkata walaupun sesetengah syarikat penerbangan mungkin mengiklankan tambang asas yang sedikit lebih rendah, tambang berkenaan tidak semestinya merangkumi caj tambahan.
“Antara isu utama yang dibangkitkan ialah tambang penerbangan yang tinggi antara Semenanjung dan wilayah Sarawak. Jadi, itulah perkara yang ingin kami stabilkan pada masa hadapan. Sebab itulah kami memperkenalkan tambang ini tanpa mengira musim, bagi menstabilkan tambang pada masa hadapan,” katanya.
































