Utama Berita Automotif Operasi MASwings kepada AirBorneo berkuat kuasa 1 Januari 2026

Operasi MASwings kepada AirBorneo berkuat kuasa 1 Januari 2026

192

Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan peralihan operasi MASwings kepada AirBorneo akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, susulan kejayaan penyempurnaan proses pemindahan pemilikan di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA) yang dimeterai antara MAG dan Kerajaan Sarawak pada 12 Februari 2025.

Menurut kenyataan, bermula tarikh itu, AirBorneo akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab perundangan dan operasi bagi semua perkhidmatan yang dikendalikan MASwings sebelum ini termasuk operasi penerbangan, perkhidmatan pelanggan serta semua pengurusan berkaitan penumpang.

MAG berkata dalam fasa awal peralihan, penjenamaan MASwings mungkin masih kelihatan sementara AirBorneo melaksanakan pelaksanaan identiti korporat baharu secara berperingkat.

MASwings yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 merupakan syarikat penerbangan komuter khusus pertama di Malaysia Timur bagi memenuhi keperluan perjalanan udara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Operasi awalnya bermula dengan empat pesawat Fokker 50 berkapasiti 50 tempat duduk serta empat pesawat Twin Otter berkapasiti 19 tempat duduk, meliputi rangkaian 22 destinasi di rantau itu.

Pada 2009, armada Fokker 50 mula digantikan secara berperingkat dengan pesawat ATR 72-500, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi, kebolehpercayaan rangkaian dan pengalaman penumpang.

MAG turut menegaskan komitmennya untuk menyokong peralihan yang lancar serta mengiktiraf sumbangan besar MASwings dalam memperkukuh hubungan udara serantau dan luar bandar selama hampir dua dekad.

Sejak penubuhannya, MASwings memainkan peranan penting dalam penyediaan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), menghubungkan komuniti pedalaman dan terpencil dengan pusat bandar utama.

Perkhidmatan ini menyokong akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan kerajaan, aktiviti komersial serta pelancongan, selain menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sepanjang tempoh operasinya, MASwings mengendalikan lebih 430,000 penerbangan dan membawa lebih 19 juta penumpang.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here