Utama Berita Automotif JETOUR T2 i-DM masuk Malaysia, harga bermula RM162,800

JETOUR T2 i-DM masuk Malaysia, harga bermula RM162,800

5

JETOUR Malaysia secara rasmi melancarkan model SUV Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) terbaharunya, JETOUR T2 i-DM, yang menggabungkan reka bentuk lasak dan teknologi hibrid moden untuk kegunaan harian dan pengembaraan.

Model tersebut ditawarkan pada harga RM162,800 seunit.

T2 i-DM dibangunkan berasaskan falsafah Travel+ JETOUR yang menekankan kepelbagaian penggunaan, sama ada untuk perjalanan ulang-alik ke pejabat mahupun aktiviti hujung minggu.

Dari segi rangkaian kuasa, T2 i-DM dilengkapi :

  • sistem Intelligent Dual-Mode (i-DM) yang terdiri daripada enjin 1.5 liter TGDi
  • transmisi hibrid khusus (DHT) tiga kelajuan
  • dua motor elektrik

Gabungan tersebut mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 265 kilowatt (kW) dan tork maksimum 610 Newton-meter (Nm).

Model ini menawarkan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200 kilometer (km), manakala jarak pemanduan elektrik sepenuhnya melebihi 100km, menjadikannya sesuai untuk perjalanan harian jarak dekat menggunakan mod elektrik sepenuhnya.

Sistem i-DM T2 i-DM direka untuk menyesuaikan penggunaan kuasa mengikut keadaan pemanduan tanpa campur tangan pemandu.

Ketika bergerak perlahan di kawasan perumahan, sistem akan menggunakan mod EV Drive, manakala mod Series Hybrid akan diaktifkan ketika kesesakan lalu lintas di bandar.

Bagi situasi memerlukan kuasa tambahan seperti memotong atau mendaki bukit, sistem Dual Power Boost akan berfungsi, sementara mod Parallel Hybrid digunakan untuk pemanduan di lebuh raya.

Sistem ini turut dilengkapi fungsi penjanaan semula tenaga menerusi brek regeneratif ketika membrek dan menuruni bukit.

T2 i-DM menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.4 kilowatt-jam (kWh) yang dilengkapi perlindungan kalis air dan debu bertaraf IP68 serta perisai pelindung bahagian bawah kenderaan.

Bagi menyokong gaya hidup aktif, kenderaan itu turut menawarkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3kW yang membolehkan bateri membekalkan kuasa kepada peranti luaran yang serasi, sesuai untuk aktiviti perkhemahan dan kegunaan di lokasi terpencil.

Dari segi pengecasan, T2 i-DM menyokong pengecasan pantas DC sehingga 57kW yang membolehkan pengecasan dari 30 peratus ke 80 peratus dalam tempoh kira-kira 27 minit.

Bagi pengecasan AC 6.6kW menggunakan wallbox, tempoh pengecasan dari 30 peratus ke 100 peratus mengambil masa sekitar tiga jam, manakala pengecas mudah alih 2.2kW memerlukan kira-kira enam jam.

Walaupun beralih kepada teknologi PHEV, identiti lasak T2 dikekalkan dengan :

  • lampu hadapan Auto LED dengan tandatangan cahaya JETOUR
  • rim aloi Trailblazer bersaiz 20 inci
  • tayar ganti yang dipasang di bahagian belakang

Ruang dalaman pula menampilkan :

  • skrin multimedia 15.6 inci dengan paparan khusus sistem hibrid
  • sistem audio premium Sony dengan 12 pembesar suara
  • pengecasan tanpa wayar 50W
  • tempat duduk hadapan dengan fungsi memori Welcome Function dan pengudaraan

Turut melengkapi kabin ialah tombol gear kristal bercahaya dan pencahayaan ambien Cosmic Multicolour.

Bagi aspek keselamatan, JETOUR melengkapkan T2 i-DM dengan sistem :

  • Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2
  • Autonomous Emergency Braking (AEB)
  • Lane Assist Intervention (LAI)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Integrated Cruise Assist (ICA)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Intelligent High Beam (IHB)

Kenderaan itu juga dilengkapi enam beg udara SRS, struktur badan keluli berketahanan tinggi, Panoramic View Monitoring System dan Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).

Bagi 2,000 pendaftaran terawal, JETOUR menawarkan Pakej Early Bird bernilai sehingga RM3,000 berupa wallbox AC 7kW percuma termasuk pemasangan atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000, beserta kabel penyesuai V2L percuma, tertakluk kepada terma dan syarat. Kadar faedah serendah 1.68 peratus turut ditawarkan.

Dari segi jaminan, JETOUR menawarkan waranti kenderaan tujuh tahun atau 150,000km, waranti bateri voltan tinggi lapan tahun atau 160,000km, serta waranti enjin 10 tahun atau 1,000,000km, termasuk lima sesi penyelenggaraan percuma.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here