Utama Berita Automotif JETOUR rai budaya tempatan, fokus pulihara alam

JETOUR rai budaya tempatan, fokus pulihara alam

32

Sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia pada 27 September, JETOUR Malaysia tampil dengan pendekatan berbeza apabila mengetengahkan elemen pengembaraan, budaya tempatan dan pemuliharaan alam semula jadi menerusi penglibatan komuniti pemilik dan kerjasama strategik dengan organisasi tempatan.

Inisiatif itu berteraskan falsafah global jenama berkenaan, Travel+ yang menekankan perjalanan bukan sekadar destinasi, tetapi merangkumi pengalaman, hubungan dengan komuniti serta penghargaan terhadap alam dan budaya di setiap lokasi dikunjungi.

JETOUR Malaysia menjadi Penaja Utama dan Rakan Kereta Rasmi Malaysia Sarong Music Run 2026 yang berlangsung di KLCC pada 19 September lalu.

Acara menghimpunkan lebih 20,000 peserta itu menjadi pentas meraikan kepelbagaian muzik dan budaya Malaysia, dengan lebih 100 pemilik JETOUR menyertai konvoi khas di sekitar pusat bandar raya.

Lebih menarik, pentas sama turut menyaksikan pelancaran rasmi model baharu JETOUR T2 i-DM PHEV, yang menggabungkan elemen pengenalan produk dengan gaya hidup dan semangat komuniti.

Kemuncak sambutan pada malam tersebut diserikan dengan pertunjukan dron spektakuler yang membentuk imej T2 i-DM PHEV berlatarbelakangkan mercu tanda Kuala Lumpur, disusuli paparan mesej TRAVEL WITH JETOUR, World Tourism Day dan Visit Malaysia 2026 – 2027. 

Acara itu turut disiarkan secara langsung dan dikongsi menerusi platform antarabangsa JETOUR bagi memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada penonton global.

Menurut JETOUR Malaysia, kerjasama dengan Malaysia Sarong Music Run yang bermula sejak 2025 akan terus diperkukuh menerusi perjanjian kerjasama baharu selama tiga tahun bersama penganjur Malaysia Marathon bagi tempoh 2027 hingga 2029.

Kerjasama itu bakal meneroka lebih banyak peluang dalam mempromosikan budaya pengembaraan tempatan serta menyediakan pengalaman aktiviti luar yang menghimpunkan komuniti melalui minat sama terhadap perjalanan dan penerokaan.

JETOUR Malaysia turut memperluas komitmen kelestariannya menerusi kerjasama dengan Marine Conservation and Research Organisation Malaysia dan Turtle Conservation Society of Malaysia.

Menerusi kerjasama tersebut, wakil kedua-dua organisasi berkenaan dilantik sebagai JETOUR Travel Ambassadors, sekali gus menghubungkan aktiviti pengembaraan dengan usaha menghargai dan memelihara alam semula jadi di setiap destinasi.

Presiden JETOUR International, Ke Chuandeng berkata, pihaknya mahu menjadikan mobiliti sebagai jambatan menghubungkan falsafah Travel+ dengan budaya tempatan.

“Melalui hubungan lebih rapat dengan pelanggan dan rakan kongsi tempatan, JETOUR bukan sahaja dapat menyediakan pengalaman mobiliti yang lebih baik, malah menjadi sebahagian daripada komuniti di setiap lokasi operasi kami,” katanya.

Langkah itu dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya, komuniti dan kelestarian alam.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here