Utama Berita Automotif Toyota Yaris 2027 tampil lebih sporty, teknologi dipertingkat

Toyota Yaris 2027 tampil lebih sporty, teknologi dipertingkat

1

UMW Toyota Motor memperkenalkan Toyota Yaris 2027 dengan penampilan lebih sporty, teknologi dipertingkatkan serta tambahan ciri keselamatan bagi memastikan model hatchback segmen-B itu kekal kompetitif dalam pasaran.

Model berkenaan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E AT dan 1.5G AT, dengan kedua-duanya mengekalkan enjin 1.5 liter serta ciri utama dari aspek prestasi, keselamatan dan teknologi.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, Yaris kekal sebagai model penting dalam barisan kenderaan segmen-B Toyota dan versi terbaharu itu dirancang bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

“Pembaharuan ini membawa reka bentuk lebih sporty, teknologi dan ciri keselamatan tambahan, sambil mengekalkan kepraktisan serta kebolehpercayaan yang dijangka pelanggan daripada Toyota,” katanya.

Dari segi reka bentuk, Yaris 2027 menerima rekaan hadapan berkonsepkan Toyota Hammerhead, selain lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) bersepadu.

Bahagian belakang pula menampilkan bampar bawah baharu dengan kemasan seakan gentian karbon serta LED light bar, manakala rekaan baharu rim aloi 16 inci melengkapkan penampilan model berkenaan.

Ruang kabin dilengkapi:

  • paparan maklumat TFT 4.2 inci
  • sistem Display Audio 9 inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar
  • pengecasan telefon pintar tanpa wayar
  • port USB Type-C

Varian 1.5G AT turut menerima kemasan tempat duduk leatherette dengan struktur sport seat dan stereng balutan kulit.

Kedua-dua varian menawarkan kapasiti ruang bagasi 390 liter serta tempat duduk belakang lipat 60:40.

Dari aspek prestasi, Yaris 2027 menggunakan enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i yang dipadankan dengan CVT bersama fungsi 7-kelajuan Sport Sequential Shiftmatic serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, ECO dan Sport.

Bagi keselamatan, model itu dilengkapi:

  • Toyota Safety Sense
  • Blind Spot Monitor
  • Rear Cross Traffic Alert
  • 3D Panoramic View Monitor
  • tujuh beg udara

UMW Toyota Motor dijangka mengumumkan harga rasmi bagi kedua-dua varian Toyota Yaris 2027 pada minggu depan.

GALERI :

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here