
UMW Toyota Motor rasmi memperkenalkan Toyota Yaris Cross serba baharu ke pasaran tempatan menerusi dua pilihan varian iaitu :
- HEV : RM99,900
- ICE : RM109,900
Penampilan hadapan yang solid dipadankan dengan gril trapezoid dwi manakala gril atas yang condong ke hadapan bukan sekadar gaya namun menyumbang kepada ruang dalaman lebih luas.
Profil sisi dicirikan oleh garis badan tajam bersama padanan rim bersaiz 18-inci dengan balutan tayar 215/55R18.
Di bahagian belakang, fender yang lebar digabungkan dengan kombinasi lampu memanjang sehingga ke hujung badan. Yaris Cross menampilkan pencahayaan berkualiti tinggi, termasuk lampu nyala siang (DRL) LED memastikan kejelasan penglihatan dan penampilan premium.
Masuk ke kabin, Toyota memilih bahan berkualiti tinggi termasuklah stereng balutan kulit asli. Bagi memberikan kesan premium, Yaris Cross didatangkan dengan pencahayaan dalaman LED penuh, termasuk di ruang bagasi, kotak konsol, kemasan pintu hadapan dan cermin solek dengan empat tahap kecerahan yang boleh dilaraskan.
Penyelarasan warna dalaman menampilkan tema biru-hitam yang mengekspresikan rasa moden dan berkualiti tinggi.
Sementara, pilihan aksen biru digunakan untuk panel instrumen dan jahitan tempat duduk bagi mewujudkan kesan sporty. Warna biru secara tradisinya digunakan untuk mengenal pasti model Toyota dengan rangkaian kuasa elektrik.
Sementara itu, upholsteri tempat duduk untuk varian HEV dihasilkan daripada kulit sintetik yang menampilkan corak mesh pada bahagian penyandar. Bagi pemandu, pemanduan ergonomik dapat dicapai dengan pelarasan tempat duduk 8-tahap.
Di hadapan kerusi pemandu tersedia meter TFT digital 7-inci dengan meter kelajuan LED digital yang mana paparan boleh diperibadikan dengan empat susun atur berbeza mengikut pilihan individu. Sebagai ganti takometer, terdapat meter yang menunjukkan penggunaan tenaga dan keadaan pemanduan (Eco atau Power).
Beralih ke tengah papan pemuka, skrin 10.1-inci berfungsi sebagai ‘pusat arahan’ untuk sistem infotainmen dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, Waze, Google Maps, Spotify dan aplikasi kegemaran lain.
Selain itu, Yaris Cross turut dilengkapi dengan pad pengecasan tanpa wayar serta port USB jenis-C dwi buat penumpang belakang. Ia juga didatangkan standard dengan pintu belakang berkuasa dengan fungsi sensor ‘kick’.
MEKANIKAL
Yaris Cross HEV menggunakan rangkaian kuasa elektrik hibrid generasi ke-4 Toyota yang merupakan evolusi daripada Toyota Hybrid Synergy Drive yang dibangunkan pada akhir 1990-an untuk sedan HEV, Prius.
Rangkaian kuasa terdiri daripada dua motor elektrik dan enjin 1.5 liter 4-silinder (2NR-VEX), dan transaxle P910.
Salah satu motor elektrik (yang satu lagi adalah untuk menghidupkan enjin dan mengecas bateri) menghasilkan kuasa 59 kW (80 PS) dan tork 141 Nm.
Ia digabungkan dengan enjin petrol DOHC VVT-i 16-injap yang menghasilkan kuasa 91PS @ 5,500rpm dan tork 121Nm @ 4,000-4,800rpm.
Melalui gabungan motor dan enjin, pemandu akan menikmati faedah sistem HEV dengan jumlah output sistem sebanyak 111 PS, dan pengurangan penggunaan bahan api antara 27.8 km/liter dan 33.3 km/liter (ujian kilang Toyota).
Bateri (yang dipasang secara tempatan) untuk Yaris Cross HEV adalah jenis litium-ion dengan 48 sel dan jumlah output kuasa sebanyak 763.7wH.
Varian Yaris Cross ICE pula menggunakan enjin petrol 1.5 liter (2NR-VE) yang turut boleh ditemui pada Veloz. Ia menghasilkan kuasa 106PS dan tork 138Nm bersama transmisi CVT.
Daripada segi dimensi, Yaris Cross memiliki panjang 4,310 mm dan lebar 1,770 mm manakala ketinggian 1,615 mm dengan posisi tempat duduk yang dinaikkan memberikan titik pandangan mata setinggi 1340 mm (lebih tinggi daripada kebanyakan pesaing) yang memastikan pemandu mempunyai pandangan jelas tentang persekitaran.
Yaris Cross mempunyai ruang bagasi yang sangat luas, dengan panjang sehingga 955 mm apabila penyandar belakang dilipat. Isipadu maksimum sehingga 471 liter ditambah dengan ruang bawah lantai sedalam 200 mm boleh menempatkan tayar ganti 16-inci.
Tawaran radius pusingan 5.2 meter membolehkan pemandu melakukan pusingan-U dengan mudah bahkan jarak kelegaan tanah yang tinggi iaitu 210mm memberikan keupayaan meredah banjir kilat sehingga kedalaman 600 mm.
TOYOTA SAFETY SENSE (TSS)
Toyota Yaris Cross menggunakan kamera stereoskopik (bukannya kamera monokular dan radar) untuk mengimbas jalan di hadapan.
Ia terdiri daripada sembilan sistem keselamatan aktif antaranya Collision System, Pre-Collision Braking, Full Speed Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Keeping Control, Front Departure Alert, Pedal Misoperation Control dan lampu tinggi automatik.
Selain itu, Yaris Cross didatangkan dengan 6 beg udara SRS di bahagian hadapan dan sisi kabin yang membantu mengurangkan kecederaan.
WARANTI & SOKONGAN SELEPAS JUALAN
Yaris Cross didatangkan dengan waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Untuk Yaris Cross HEV, bateri hibrid mempunyai waranti berasingan sehingga 8 tahun, juga dengan perbatuan tanpa had.
Selain itu, tidak seperti waranti bateri hibrid beberapa jenama lain, pakej waranti UMWT termasuk Inverter dan ECU Kawalan Pengurusan Kuasa untuk tempoh masa yang sama.
Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan waranti bagi pek bateri dan komponen hibrid yang berkaitan untuk tempoh 2 tahun lagi, menjadikannya keseluruhan 10 tahun. Waranti yang lebih lama ini boleh dipindah milik, akan meningkatkan nilai jualan semula dan memberi lebih ketenangan fikiran kepada pemilik yang merancang untuk menyimpan kenderaan tersebut bagi tempoh yang lama.



































