
Kia Sales Malaysia Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Cycle & Carriage sebagai rakan pengedar sah baharu, sebagai strategi pertumbuhan jangka panjang dan peluasan rangkaian Kia di Malaysia.
Berucap pada majlis menandatangani perjanjian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim berkata, pelantikan Cycle & Carriage, mencerminkan komitmen Kia untuk memperkukuh rangkaian jualan.
“Usaha ini juga bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan di seluruh negara, sekali gus meletakkan jenama Kia pada kedudukan yang lebih kompetitif dalam landskap automotif Malaysia yang dinamik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short menjelaskan, sebagai pengeluar kereta terbesar di dunia, Kia bakal memberi nilai tambah yang kukuh kepada portfolio syarikat mereka.
“Kami berbangga dan mengalu-alukan kerjasama dengan jenama ini, serta berharap dapat memanfaatkan kepakaran automotif serta kecemerlangan perkhidmatan pelanggan Cycle & Carriage untuk memperluas capaian pasaran Kia, di samping memberikan pengalaman pemilikan luar biasa kepada pelanggan di Malaysia,” jelasnya.
Kerjasama antara Kia Sales Malaysia dan Cycle & Carriage ini menyatukan dua kuasa utama dalam industri automotif tempatan.

Ia menawarkan akses jualan lebih meluas kepada pelanggan Kia, sokongan selepas jualan dipertingkatkan serta pengalaman pemilikan lebih premium selaras dengan standard global terkini Kia.
Untuk sebarang pertanyaan jualan dan khidmat servis, atau bantuan tepi jalan 24-jam, sila hubungi Pasukan Perkhidmatan Pelanggan KIA Sales Malaysia di 1300 88 0133 atau e-mel ke customersupport@kia-my.com.






























