Utama Berita Automotif Kia perkukuh khidmat lepas jualan, kurang harga alat ganti hingga 15 peratus

Kia perkukuh khidmat lepas jualan, kurang harga alat ganti hingga 15 peratus

7

Kia Sales Malaysia mengumumkan penambahbaikan menyeluruh bagi perkhidmatan selepas jualan menerusi operasi gudang alat ganti berpusat di Shah Alam, pengurangan harga alat ganti tulen serta pelan penyelenggaraan lebih fleksibel.

Langkah strategik itu memberi tumpuan kepada aspek ketersediaan alat ganti, kelancaran penghantaran kepada rangkaian pengedar dan pengurusan kos penyelenggaraan bagi pemilik kenderaan Kia di Malaysia, termasuk pengguna model generasi terdahulu.

Menurut kenyataan syarikat hari ini, harga hampir keseluruhan alat ganti tulen Kia telah dikurangkan secara purata sebanyak 15 peratus sejak awal tahun ini, hasil peningkatan kecekapan operasi syarikat.

Bagi memperkukuh operasi berkenaan, Kia Sales Malaysia menjalinkan kerjasama dengan PKT Logistics Group untuk mengendalikan gudang alat ganti berpusat di One Logistics Hub, Shah Alam.

Kemudahan berkeluasan kira-kira 20,000 kaki persegi itu dikendalikan sembilan kakitangan khusus bagi operasi Kia, merangkumi pengurusan inventori dan pengedaran alat ganti ke seluruh negara.

Syarikat itu memaklumkan, penerimaan stok terkini membolehkan tahap ketersediaan alat ganti mencapai hampir lengkap bagi model ditawarkan di pasaran tempatan, meliputi komponen servis, elektrik, mekanikal dan struktur.

Antara model yang menerima sokongan penuh termasuk :

  • Forte
  • Cerato
  • Picanto
  • Stinger
  • Seltos
  • Optima
  • EV6
  • EV9
  • selain pelbagai generasi Carnival, Sportage dan Sorento

Gudang berkenaan menyasarkan penghantaran pada hari yang sama bagi kawasan Lembah Klang, manakala tempoh pemprosesan pesanan bagi negeri lain turut dipendekkan.

Hasil pemeriksaan berperingkat, operasi tersebut merekodkan kadar ketepatan penghantaran alat ganti sebanyak 100 peratus sejak dimulakan.

Di peringkat pengedar, sistem bersepadu membolehkan Kia Sales Malaysia memantau inventori dan membantu pengisian semula stok mengikut keperluan semasa, selain latihan berterusan kepada kakitangan pengedar bagi menyeragamkan proses kerja.

Dalam masa sama, Kia Sales Malaysia menawarkan kelonggaran kepada pelanggan untuk membeli Kia Maintenance Plan (KMP) sehingga 11 bulan selepas tarikh pendaftaran kenderaan, tertakluk kepada syarat kenderaan belum mencapai tempoh penggantian pelincir pertama.

KMP merupakan pakej penyelenggaraan berjadual prabayar selama lima tahun yang membolehkan pelanggan menetapkan kos servis berjadual mengikut harga semasa ketika pelan dibeli.

Pakej tersebut merangkumi minyak enjin sintetik penuh, penapis minyak enjin, penapis udara enjin dan kabin, bendalir brek dan palam pencucuh, termasuk pemeriksaan kenderaan pelbagai titik serta kos buruh dan servis berjadual standard.

Harga permulaan KMP mengikut model adalah seperti berikut:

  • Kia Sportage 1.6T: RM2,980
  • Kia Carnival 2.2D: RM3,580
  • Kia Sportage 2.0: RM3,680

Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek berkata, operasi gudang berpusat merupakan antara tonggak utama dalam strategi Return, Rebuild and Reposition Kia di Malaysia.

“Pengurangan harga alat ganti dan fleksibiliti pembelian KMP bertujuan memudahkan pelanggan merancang pemilikan, di samping meningkatkan keupayaan perkhidmatan selepas jualan seiring pertambahan pelanggan,” katanya.

Kia Sales Malaysia turut memperluas akses perkhidmatan di Pantai Timur menerusi pembukaan Kia Kota Bharu yang dikendalikan oleh Baihaki Automotive Sdn Bhd.

Premis berkenaan terletak di Lot 5143, Jalan 1A/44, Kawasan Perindustrian II, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Operasi penuh sebagai pusat 2S yang menyediakan perkhidmatan servis dan alat ganti akan bermula pada 15 Okt 2026, manakala bilik pameran dan operasi jualan dijadualkan bermula tidak lama selepas itu.

Pelanggan boleh menghubungi Sokongan Pelanggan Kia Sales Malaysia di talian 1300-88-0133 atau e-mel customersupport@kia-my.com bagi pertanyaan umum, urusan servis dan bantuan tepi jalan 24 jam.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here