Utama Berita Automotif #KLIMS2026 : Kia tampil empat model global, previu model K4

#KLIMS2026 : Kia tampil empat model global, previu model K4

13

Kia Sales Malaysia melancarkan visi Bold and Progressive untuk masa depan mobiliti bersempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.

Visi itu dibawakan menerusi pameran empat model global menarik serta inisiatif pemilikan dipertingkatkan bagi memberi pengalaman pemilikan luar biasa kepada pelanggan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim berkata, pelancaran itu menandakan pencapaian penting Kia Sales Malaysia membawakan visi antarabangsa Kia.

“Melalui pameran enam model luar biasa, termasuk empat produk global, kami menunjukkan komitmen Kia Sales Malaysia menyediakan penyelesaian mobiliti inovatif bagi memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.

Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek menambah, pihaknya berbangga dengan menambah Kia TotalCare ke dalam portfolio inisiatif pemilikan.

“Ia adalah janji pemilikan paling berani yang mencerminkan keyakinan terhadap produk dan perkhidmatan kami.

“Pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap usaha kami dan kami menggabungkan usaha ini dengan produk terbaik bagi menunjukkan komitmen jangka panjang Kia terhadap Malaysia,” katanya.

Bertempat di Pavilion Kia yang luas di KLIMS 2026, pameran ini berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026 di MITEC, menawarkan pengalaman jenama yang imersif dengan menggabungkan reka bentuk, teknologi rangkaian kuasa pelbagai, inovasi, kelestarian serta inisiatif keyakinan pemilikan di bawah satu strategi menyeluruh yang direka bagi memenuhi keperluan pelanggan.

PENAMPILAN PERTAMA KIA K4

Sempena penampilan pertamanya di Malaysia sepanjang KLIMS 2026, Kia K4 dipamerkan dalam spesifikasi GT-Line, menampilkan falsafah reka bentuk terkini Kia iaitu Opposites United, yang menggabungkan gaya sporty dengan kepraktisan harian.

Dikuasakan enjin 1.6L TGDi empat silinder sebaris yang menghasilkan 193 PS dan tork 265 Nm, K4 menawarkan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan pemanduan.

Casisnya dilengkapi suspensi hadapan McPherson Strut dan suspensi belakang Multi-Link, dipadankan dengan rim aloi 18 inci berserta tayar 235/40R18 untuk kestabilan dan dinamik pemanduan yang lebih baik.

Untuk bahagian dalaman, K4 menampilkan Integrated Panoramic Display Kia yang terdiri daripada kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin paparan kawalan iklim 5 inci dan skrin sentuh infotainment 12.3 inici.

Ciri-ciri lain termasuk Apple CarPlay™ dan Android Auto™ tanpa wayar, pengecasan tanpa wayar, kawalan iklim dwi-zon, tempat duduk hadapan berpengudaraan serta tempat duduk belakang lipat nisbah 60:40, meneruskan legasi sedan Kia yang telah dibangunkan sejak beberapa generasi.

Pavilion ini turut mengetengahkan portfolio mobiliti elektrik dan masa hadapan menerusi Kia EV4, Kia EV5 dan Kia PV5 yang memenangi pelbagai anugerah.

Kia EV4 mewakili visi mobiliti elektrik generasi baharu Kia dengan reka bentuk progresif, sambungan digital canggih dan kebolehgunaan harian yang praktikal.

Dibina berasaskan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP), EV4 dilengkapi motor elektrik hadapan menghasilkan 150 kW dan tork 283 Nm, dengan kelajuan maksimum 170 km/j serta jarak pemanduan sehingga 612 km (WLTP) menerusi bateri 81.4 kWh.

EV4 turut menyokong pengecasan pantas DC 10-80 peratus dalam tempoh 29 minit menggunakan pengecas 350 kW serta dilengkapi Integrated Panoramic Display dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang boleh diakses dari bahagian luar dan dalam kenderaan.

Kia EV5 pula memperkukuh komitmen Kia terhadap mobiliti lestari dengan menekankan aspek praktikaliti, keselesaan dan penggunaan bahan kabin mesra alam.

Turut dibina di atas platform E-GMP, EV5 menawarkan kuasa sehingga 230 kW dan tork 480 Nm bergantung kepada varian, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat serta jarak pemanduan sehingga 540 km (WLTP).

EV5 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 141 kW dan dilengkapi paparan berkembar 12.3 inci, sambungan tanpa wayar, sistem audio premium serta teknologi kemudahan canggih termasuk pengesahan cap jari dan fungsi V2L.

Kia PV5 pula adalah model pertama dibangunkan berasaskan seni bina khusus E-GMP.S Platform Beyond Vehicle (PBV), memperlihatkan visi mobiliti Kia melangkaui kenderaan penumpang tradisional.

Direka untuk penggunaan komersial, logistik dan gaya hidup, PV5 Passenger menawarkan kuasa 120 kW daripada motor elektrik hadapan serta dilengkapi fungsi V2L dan V2X.

PV5 menerima pelbagai pengiktirafan global termasuk anugerah MPV of the Year dan Family Car of the Year di What Car? Awards 2026 dan TopGear.com EV Awards, selain pengiktirafan reka bentuk menerusi Red Dot Design Award dan iF Design Award.

Kia Carnival dan Kia Sportage, yang kini ditawarkan di semua pengedar sah Kia di seluruh negara turut ditawarkan bagi sesi pandu uji kepada pengunjung.

Spaces that Inspire diterjemahkan menerusi Kia Carnival yang ditawarkan dalam konfigurasi 7, 8 dan 11 tempat duduk dan dikuasakan oleh enjin diesel yang cekap.

Kia Carnival mampu mencapai jarak melebihi 900 km dengan satu tangki penuh berdasarkan kitaran WLTP, sambil menawarkan kuasa 202 PS dan tork 440 Nm untuk pecutan yang lancar.

Kia Sportage pula tampil berani dan mencabar dengan pilihan enjin 2.0 liter NA serta 1.6 liter turbo, dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan atau transmisi klac berkembar 7 kelajuan.

Ditawarkan dalam varian jarak roda panjang di Malaysia, Sportage menyerlah dengan reka bentuk lampu LED hadapan unik berinspirasikan bumerang untuk mereka yang berani menyahut cabaran #DareToSportage.

Pengunjung Pavilion Kia boleh membuat tempahan semasa KLIMS 2026 bagi menikmati manfaat Kia TotalCare serta pelbagai hadiah menarik lain.

Selain pameran kenderaan, Pavilion Kia turut menawarkan pelbagai pengalaman interaktif dan aktiviti berteraskan gaya hidup yang direka untuk menarik pengunjung sepanjang KLIMS 2026.

Antara tarikan utama termasuk permainan interaktif bertemakan FIFA World Cup dengan peluang memenangi hadiah, sesi pandu uji model terpilih seperti Kia Carnival dan Kia Sportage, serta ganjaran eksklusif bagi pelanggan yang membuat tempahan atau menyertai sesi pandu uji.

Kia turut berkolaborasi dengan Korea Tourism Organization untuk menyediakan inspirasi perjalanan dan maklumat perlancongan kepada pengunjung, sekali gus mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Korea.

Pengunjung Pavilion Kia juga berpeluang berinteraksi dengan instalasi seni visual berasaskan AI hasil karya artis visual digital terkenal Malaysia, Max Jala, yang akan dipersembahkan pada waktu-waktu tertentu sepanjang pameran berlangsung.

Melalui penyertaannya di KLIMS 2026, Kia Sales Malaysia terus memperkukuhkan komitmennya terhadap penyelesaian mobiliti progresif, keyakinan pemilikan yang lebih tinggi serta pengalaman pelanggan yang lebih bermakna untuk pengguna di Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here