
Medan persaingan kereta rakyat di Malaysia bagi bulan Mei 2026 kembali bergegar dengan kejutan besar.
Selepas mengekor rapat di tangga kedua pada bulan April, Proton Saga sekali lagi membuktikan kehebatanyya apabila berjaya menumbangkan Raja Sedan Kompak, Perodua Bezza, untuk pendaftaran bulanan.
Ini merupakan kali kedua model ikonik Proton itu merampas takhta bulanan daripada Bezza pada tahun 2026, selepas kejutan pertama yang dilakar pada bulan Januari lalu.
Mei Milik Proton Saga: Bezza Akur Di Tangga Kedua
Memasuki bulan Mei, keseluruhan pasaran automotif sebenarnya memperlihatkan trend penurunan angka pendaftaran bagi tiga model paling laris di Malaysia dan satu situasi biasa akibat selepas perayaan.
Walau bagaimanapun, kejatuhan pendaftaran yang dialami oleh Perodua Bezza adalah jauh lebih ketara berbanding Proton Saga.
Berdasarkan data rasmi data.gov.my, berikut adalah angka pendaftaran bagi bulan Mei 2026:
- Proton Saga: 7,337 unit (April: 8,207 unit)
- Perodua Bezza: 7,079 unit (April: 9,431 unit)
- Perodua Axia: 5,985 unit (April: 7,294 unit)
Kejayaan Saga mencatatkan 7,337 unit membolehkannya menduduki takhta sebagai model paling popular di Malaysia bagi bulan Mei.
Impak Proton Saga generasi baharu (2026) nampaknya terus menjadi senjata ampuh buat Proton untuk mengekalkan momentum permintaan tinggi daripada pembeli tempatan.
Bulan Januari lalu memperlihatkan kejutan luar biasa daripada Saga selepas berjaya menewakan Bezza sejak sekian.
Saga mencatatkan pendaftaran sebanyak 10,285 unit manakala Bezza berjumlah 8,431 unit.
Kedudukan Keseluruhan (YTD): Jurang Bezza dan Saga
Meskipun Proton Saga mendominasi carta bulanan Mei, Perodua Bezza masih lagi memegang status sebagai Raja Keseluruhan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini (Januari hingga Mei 2026).
Kedudukan ini berjaya dipertahankan Bezza hasil daripada prestasi pengeluaran dan bekalan yang kukuh pada suku pertama (Q1) yang lalu.
Walau bagaimanapun, kemenangan Saga pada bulan Mei telah mengecilkan lagi jurang unit keseluruhan (YTD) antara kedua-dua model ini kepada 2,231 unit.
Persaingan menuju ke separuh kedua tahun 2026 dijangka akan terus sengit dan sukar diramal.
Berikut adalah kedudukan 10 Model Terlaris di Malaysia (YTD sehingga 31 Mei 2026):
- Perodua Bezza: 39,465 unit
- Proton Saga: 37,234 unit
- Perodua Axia: 30,940 unit
- Perodua Myvi: 23,894 unit
- Perodua Alza: 15,677 unit
- Proton X50: 11,630 unit
- Proton S70: 10,525 unit
- Proton e.MAS 5: 9,356 unit
- Perodua Traz: 8,849 unit
- Perodua Ativa: 8,276 unit
Honda City nampaknya telah terkeluar daripada kelompok 10 model terbaik YTD, digantikan oleh Perodua Ativa yang kembali membuat kemunculan semula dan berada dalam kelompok sepuluh terlaris.
Sementara itu, Proton e.MAS 5 kekal konsisten mempertahankan kedudukannya sebagai kenderaan elektrik terlaris dan berada di tangga ke-8.
Prestasi Jenama Asing: BYD Rapat Di Belakang Mazda, Chery Kukuh Di Tangga Ke-5
Bagi prestasi keseluruhan jenama (YTD Mei 2026), Perodua dan Proton kekal tidak tergugat di kedudukan dua teratas, manakala Toyota terus selesa sebagai jenama asing nombor satu di Malaysia dengan 40,886 unit.
Namun, tumpuan pasaran kini terarah kepada kebangkitan jenama dari China.
Di bawah kaedah penyatuan data data.gov.my (yang meletakkan sub-jenama Omoda dan Jaecoo di bawah payung induk), Chery berjaya mengukuhkan cengkamannya di tangga ke-5 keseluruhan dengan 13,276 unit.
Mitsubishi dengan hanya tiga model berada di belakang dan mencatatkan pendaftaran sebanyak 5,819 unit.
Satu lagi pertempuran yang menarik adalah di antara BYD daripada China dan Mazda daripada Jepun. Setakat Mei 2026, BYD hanya dipisahkan sebanyak 194 unit sahaja di belakang jenama tersebut:
- Mazda (No. 7): 4,793 unit (YTD)
- BYD (No. 8): 4,599 unit (YTD)
Melihat kepada corak pecutan ini, tidak mustahil gergasi EV dari China itu mampu memintas kedudukan Mazda dalam masa terdekat sekiranya penawaran mereka berjalan lancar.
Satu lagi jenama baharu, Jetour, turut menunjukkan taring apabila berada di tangga ke-9 dengan mencatatkan pendaftaran terkumpul sebanyak 3,845 unit.
Sumber Data: data.gov.my











