Utama Berita Automotif PROTON tambah nilai pemilikan, tawar kos selenggara kompetitif

PROTON tambah nilai pemilikan, tawar kos selenggara kompetitif

6

PROTON terus meningkatkan nilai pemilikan kenderaannya dengan menawarkan kos penyelenggaraan yang kompetitif bagi model Saga serba baharu dan Proton S70, seiring pelaburan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan.

Langkah itu bertujuan membantu pelanggan mengawal perbelanjaan sepanjang tempoh pemilikan, termasuk kos servis berkala serta akses kepada alat ganti dan perkhidmatan yang boleh dipercayai.

Menurut kajian dalaman PROTON, S70 dengan enjin aspirasi semula jadi (NA) mencatatkan anggaran kos penyelenggaraan lima tahun sebanyak RM4,010.59, iaitu kira-kira RM1,591 lebih rendah berbanding pesaing pertama dan RM433 berbanding pesaing kedua.

Bagi tempoh 10 tahun atau 200,000 kilometer, kos penyelenggaraan model sama dianggarkan RM9,070.09, dengan penjimatan masing-masing sekitar RM2,191 dan RM1,252 berbanding dua model penanda aras.

Bagi varian turbo, S70 turut menawarkan kos penyelenggaraan yang kompetitif dengan anggaran penjimatan kira-kira RM1,076 dalam tempoh lima tahun berbanding pesaing pertama.

Untuk tempoh 10 tahun, penjimatan dianggarkan RM1,575 dan RM629 berbanding dua model penanda aras.

Pengarah Selepas Jualan PROTON, Wan Hazran Wan Mustafa berkata, fokus syarikat bukan sekadar pada harga jualan, malah kepada kos pemilikan jangka panjang.

“Seiring peningkatan jualan kenderaan Proton, pelanggan kami mahu yakin bahawa kos penyelenggaraan kenderaan mereka kekal berpatutan dan sokongan yang boleh dipercayai serta mudah diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Saga serba baharu pula menawarkan anggaran kos penyelenggaraan lima tahun bermula RM3,357, dengan penjimatan sekitar RM174 bagi varian automatik empat kelajuan dan RM64 bagi varian CVT berbanding model jenama nasional yang dijadikan penanda aras.

Kedua-dua model turut menawarkan manfaat servis tanpa caj upah, iaitu enam sesi untuk S70 dan tiga sesi untuk Saga, tidak termasuk alat ganti, pelincir dan item berkaitan.

Kajian tersebut mengambil kira penyelenggaraan berjadual, penggantian komponen yang ditetapkan, caj upah dan cukai berkaitan berdasarkan perbatuan 100,000km bagi tempoh lima tahun dan 200,000km bagi 10 tahun.

Dalam usaha memperkukuh sokongan selepas jualan, PROTON kini mempunyai 178 pusat 3S/4S di seluruh negara setakat Jun 2026, selain Pusat Alat Ganti Serantau di Kuching dan Kota Kinabalu bagi meningkatkan kecekapan pengedaran komponen di Malaysia Timur.

Syarikat itu turut melaksanakan inisiatif Faster & Better yang menetapkan sasaran servis pantas FS90, penyerahan kenderaan selepas servis dalam tempoh satu hari serta tempoh kerja dalam proses (WIP) tidak melebihi tiga hari.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here