
Bermaz Motor berjaya menganjurkan Kejohanan Golf Amal Mazda kali ke-12 yang berlangsung selama dua hari pada di Kelab Golf & Country Glenmarie, baru-baru ini.
Kejohanan yang menghimpunkan 200 peserta dalam kalangan rakan niaga, wakil kerajaan, pelanggan Mazda dan ahli komuniti itu adalah acara tahunan utama bagi mengumpul dana untuk Tabung Medicare Mazda (MMF).

Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh berkata, kejohanan itu bukan sekadar acara sukan, malah komitmen kolektif syarikat dalam memperkasa komuniti.
“Kejohanan ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa tanggungjawab korporat mesti dizahirkan, bukan sekadar dinyatakan. Ia dibina atas prinsip memberi tanpa mengharapkan balasan,” katanya.
Majlis makan tengah hari amal pada 10 Oktober bersempena kejohanan itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Penaung Diraja MMF sejak 2015.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Mahathar Abdul Wahab, Exco Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Pada majlis itu, lima organisasi penerima manfaat menerima sumbangan simbolik antaranya:
- Mount Miriam Cancer Hospital
- Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Dan Cacat Perlindungan Selangor
- Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian
- Pertubuhan Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kampung Sijangkang
- Yayasan Al-Sultan Abdullah

Untuk rekod, MMF ditubuhkan pada 2015 hasil kerjasama Prima Merdu Sdn Bhd dan B Braun Avitum Renal Services bagi membiayai rawatan hemodialisis untuk pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan.
Selain itu, ia turut menyalurkan bantuan kepada rumah warga emas, anak yatim dan pusat jagaan OKU dengan memastikan 100 peratus sumbangan disalurkan sepenuhnya untuk tujuan amal.





























