
Sekumpulan jurutera dan pelajar kejuruteraan dari Perancis tampil dengan projek motosikal elektrik yang cukup luar biasa menerusi SIGMA Regen Superbike LMT02.
Ia merupakan sebuah prototaip berasaskan Honda CBR1000RR-R Fireblade yang dibangunkan untuk perlumbaan ketahanan.
Lebih menarik, motosikal ini bukan sekadar sebuah superbike elektrik biasa, malah dilengkapi teknologi pemulihan tenaga pada roda hadapan yang pertama seumpamanya dalam dunia perlumbaan motosikal.
Inovasi utama LMT02 ialah sistem SRERA (Système de Récupération d’Énergie sur la Roue Avant) yang dibangunkan oleh pasukan SIGMA Clermont.
Kebanyakan motosikal elektrik menggunakan sistem regeneratif pada roda belakang, namun SIGMA mengambil pendekatan berbeza dengan memanfaatkan roda hadapan yang menerima beban paling besar ketika membrek.
Menurut pasukan pembangunan, sistem itu berupaya memulihkan sehingga 33 peratus tenaga bateri ketika motosikal nyahpecut, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan tenaga dalam perlumbaan jarak jauh.
Bagi membolehkan sistem tersebut berfungsi, LMT02 menggunakan aci pemacu yang menyalurkan kuasa dari motor elektrik ke roda hadapan menerusi mekanisme seakan sistem kardaan.
Selain memulihkan tenaga, sistem itu secara tidak langsung membolehkan roda hadapan turut menerima kuasa pemanduan, menjadikan LMT02 sebuah motosikal pacuan dua roda (2WD) yang jarang ditemui dalam dunia superbike.
Buat masa ini, LMT02 masih berada pada peringkat pembangunan dan pengesahan sistem. Model tersebut mempunyai kuasa sekitar 45hp dengan kelajuan maksimum 160km/j, angka yang dipilih untuk tujuan pembangunan dan ujian teknologi.
Pasukan SIGMA bagaimanapun sudah merancang model seterusnya yang dikenali sebagai LMR01, sebuah jentera perlumbaan elektrik sebenar dengan kuasa sehingga 340hp yang disasarkan untuk memecahkan rekod motosikal elektrik di litar Le Mans menjelang 2028.
Projek SIGMA Regen Superbike bukan sekadar eksperimen akademik. Selepas memperkenalkan prototaip pertama LMT01 pada perlumbaan 24 Hours of Le Mans 2025, pasukan itu kini mensasarkan penyertaan motosikal elektrik berteknologi SRERA dalam perlumbaan ketahanan tersebut pada masa depan.
Walaupun masih jauh daripada produksi komersial, SIGMA Regen Superbike LMT02 membuktikan bahawa masih banyak ruang inovasi dalam dunia motosikal elektrik. Jika teknologi pemulihan tenaga roda hadapan ini terbukti berkesan, ia berpotensi mengubah cara motosikal elektrik menguruskan tenaga dan meningkatkan jarak tunggangan pada masa hadapan.






