
Salah satu jentera ikonik yang pernah dimiliki oleh personaliti TV James May kini sedia untuk dilepaskan kepada pihak yang berminat.
Ia bukanlah sebarang jentera, akan tetapi sebuah Honda CBR900RR Fireblade generasi awal yang muncul era 1990-an.
Harga yang diminta? US$5,600 atau RM22,901 – satu angka yang sangat kena dengan status poket semasa untuk sebuah Fireblade yang mempunyai sejarah pemilikan yang unik.
Jentera ini juga tidaklah disimpan atau diperap bertahun-tahun dalam bilik hawa dingin.
Dengan jarak perbatuan sekitar 22 ribu km, ia turut mempunyai sedikit kecacatan kosmetik, bermaksud jentera ini turut dinikmati oleh pemiliknya yang terdahulu.
Unit yang dilelong ini asalnya dibeli baharu di Sepanyol pada tahun 1993, sebelum dihantar ke UK dan didaftarkan di sana.
Setakat ini, sudah ada empat orang pemilik dan salah seorang daripadanya ialah James May, bekas pengacara Top Gear dan The Grand Tour.
James May dilaporkan membeli jentera ini daripada David Silver Honda Collection Museum pada tahun 2013 sebelum menjualnya semula melalui DH Superbikes.
Ia kini disenaraikan di Iconic Motorbike Auctions.
Fireblade ini turut mempunyai fail sejarah servis yang lengkap, dan terbaharu pada Mac 2026 ia menerima servis penuh termasuklah tayar baharu Bridgestone Battlax Hypersport S21, penukaran bendalir, servis karburetor, serta salutan seramik.
Rim juga telah dicat semula dalam warna putih manakala peredam asal berwarna hitam telah digantikan dengan unit OEM berwarna perak.
Dilancarkan secara rasmi pada 1992, CBR900RR dilengkapi enjin empat silinder sebaris 893 cc menghasilkan kuasa sekitar 124 hp dan mampu mencapai kelajuan maksimum 257 km/j.






