
Tekanan sengit pasaran automotif serta kemerosotan jualan kenderaan di China memaksa BMW mengambil langkah menghentikan sekitar 1,800 kakitangan di entiti usahasamanya, BMW Brilliance Automotive (BBA).
Angka berkenaan mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja di BBA setakat Isnin lalu, sekali gus mengesahkan bahawa gergasi automotif Jerman itu tidak terlepas daripada gelombang krisis penstrukturan semula industri.
Beberapa pekerja mengesahkan perkembangan tersebut kepada portal AI4Robo, yang mana langkah pengurangan itu melibatkan sektor pengeluaran dan pentadbiran.
Walau bagaimanapun, majoriti yang terjejas merupakan pekerja barisan hadapan yang bertugas di ibu pejabat dan kilang pengeluaran BBA di Shenyang, Wilayah Liaoning.
Pengurangan berkenaan amat besar kerana menyasarkan pekerja pelbagai peringkat tempoh perkhidmatan daripada staf muda yang berkhidmat antara tiga hingga lima tahun sehinggalah kakitangan veteran serta pihak pengurusan barisan hadapan.
Pakej Pampasan “N+5”

Bagi meredakan impak penamatan perkhidmatan, syarikat dilaporkan menawarkan pakej pampasan peletakan jawatan pada kadar “N+5”:
- Formula “N”: Berdasarkan perkiraan jumlah bulan perkhidmatan darab gaji bulanan sebelum cukai.
-
Komponen “+5”: Bayaran tambahan sebanyak lima bulan gaji asas, tidak merangkumi elaun atau bonus prestasi.
Meskipun pihak pengurusan BMW belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan isu tersebut dengan penstrukturan semula global, langkah itu menyusul selepas fasa pembekuan pengambilan pekerja baharu serta penamatan pembaharuan kontrak yang telah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
Penstrukturan Global: 8,000 Jawatan Dikurangkan Di Jerman
Pengurangan tenaga kerja di China selari dengan program pemotongan kos berskala besar di ibu pejabat global BMW di Jerman.
Kumpulan BMW Group merancang untuk mengurangkan kira-kira 8,000 peranan kerja secara global iaitu sekitar 5 peratus daripada keseluruhan 154,000 tenaga kerjanya.
Berbeza dengan operasi di China yang tertumpu pada pekerja pengeluaran kilang, penstrukturan di Jerman lebih menyasarkan jawatan bahagian pentadbiran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta perancangan projek.
Program peletakan jawatan secara sukarela dengan pampasan lumayan di Jerman menerima sambutan luar biasa apabila 5,000 kuota permohonan habis direbut dalam tempoh tiga hari sahaja.
Prestasi Pasaran China Merosot 21.8 Peratus

Tindakan drastik itu terpaksa diambil selepas Kumpulan BMW berdepan tekanan kewangan yang teruk akibat persaingan perang harga di China.
Syarikat usahasama BBA yang ditubuhkan pada Mei 2003 kini menyaksikan BMW Group memegang 75 peratus ekuiti utama manakala bakinya dimiliki Brilliance Group.
Langkah penjimatan itu dijangka membolehkan BMW mengimbangi margin perniagaan di tengah-tengah kebangkitan pengeluar EV tempatan China yang kian dominan.





























