Utama Berita Automotif “Itu kereta (BMW) lama, apa pasal mahu tipu,” PM

“Itu kereta (BMW) lama, apa pasal mahu tipu,” PM

71

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menafikan dakwaan kononnya beliau membeli sebuah kenderaan mewah jenama BMW untuk kegunaan peribadi.

“Ada orang cakap Anwar ini cakap nak tolong orang miskin tapi dia beli kereta besar, kereta baharu BMW… saya tak beli, itu kereta lama… apa pasal mahu tipu,” katanya dalam ucapan pada program Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan di Senggarang, Batu Pahat. 

Mengulas lanjut, beliau berkata kenderaan Mercedes yang sering digunakan ketika ini pula adalah kurniaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Yang saya pakai sekarang ini, Agong kurnia dan bukan saya ambil (sebagai hak milik persendirian)… saya daftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri… jangan fikir saya macam orang lain, sakau dan curi duit rakyat,” katanya.

Penafian itu dibuat susulan dakwaan yang tular di platform media sosial berhubung status pemilikan kenderaan BMW yang digunakan Perdana Menteri sebelum ini.

Jabatan Perdana Menteri bersama dengan Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) dalam kenyataan Isnin lepas memaklumkan kereta jenis BMW yang digunakan Perdana Menteri baru-baru ini adalah aset sedia ada milik kerajaan dan bukannya kenderaan rasmi baharu.

Kenyataan sama memaklumkan kenderaan itu ialah aset di bawah seliaan BIUPA yang dikhususkan untuk kegunaan logistik rasmi negara.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here