Utama Berita Automotif Vantrack hasilkan pakej campervan untuk Kia PV5, idea yang cukup menarik!

Vantrack hasilkan pakej campervan untuk Kia PV5, idea yang cukup menarik!

4

Masih ingat akan kelibat van elektrik Kia PV5 di acara KLIMS 2026 tempoh hari? 

Dengan binaan yang berkotak, van komersial berkuasa elektrik buatan Kia itu sebenarnya cukup sesuai untuk dijadikan sebagai sebuah campervan. 

Di luar sana, sebuah syarikat daripada Belanda, Vantrack mempamerkan pakej campervan yang dinamakan sebagai Lightcamp untuk Kia PV5. 

Pakej yang ringkas ini menawarkan kelengkapan seperti dapur luar dan dalam, serta ruang tidur yang boleh memuatkan empat orang. 

Untuk memaksimumkan ruang, Vantrack turut menawarkan skylight yang boleh dijadikan sebagai ruang keluar masuk atau bumbung lutsinar untuk melihat bulan dan bintang.

Terdapat juga khemah bumbung sebagai alternatif yang lebih ringan dan modular berbanding bumbung pop-up penuh. 

Menariknya, semua perkakasan ini boleh ditanggalkan dan disimpan dengan rapi dalam masa yang singkat. 

Untuk ruang tidur pula, Lightcamp menggunakan dua pad tidur Exped Luxemat yang boleh dikempiskan dan digulung menjadi saiz lebih kecil. 

Platform ‘katil’ itu boleh berfungsi sebagai rak dan pembahagi ruang belakang. 

Untuk memasak, anda boleh menarik keluar dapur yang dipasang pada bahagian bawah platform itu tadi, dan kemudian memasang set kaki untuk dijadikan stesen memasak berdiri. 

Bahagian tersebut menempatkan dapur induksi, papan pemotong/permukaan kerja, sinki berserta paip serta bekas air 11 liter. 

Pemilik PV5 masih boleh memanfaatkan ciri yang wujud pada van tersebut seperti Utility Mode yang membenarkan kawalan suhu kabin dan fungsi V2L ketika berhenti. 

Setelah selesai, kit Lightcamp ini boleh disimpan di belakang tempat duduk baris kedua, manakala komponen lain seperti dapur dan khemah bumbung juga boleh ditanggalkan dan disimpan dalam rumah. 

Hanya Skylight sahaja yang kekal sebagai komponen yang tidak boleh ditanggalkan. 

Difahamkan, kit Lightcamp ini masih lagi dalam fasa konsep manakala versi produksi sebenar akan dipamerkan pada bulan September nanti di Camper Trade Fair Utrecht. 

Harga untuk sebuah Kia PV5 yang siap diubahsuai bermula dari €65,000 (RM302 ribu) yang dibina berdasarkan spesifikasi PV5 Passenger Essential. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here