
Jepun sememangnya pakar dalam menghasilkan kereta kecil (kei car) dan mengubahsuai kereta segmen tersebut menjadi sebuah camper kecil yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Inilah dia Dune Rover, atau dikenali sebagai Katana Mini yang dihasilkan oleh Direct Cars menggunakan asas Daihatsu Hijet.
Bahagian luar dilapisi kemasan Raptor tahan calar, dipadankan aksen hitam pada bampar, rim dan panel logam.
Lampu LED tambahan di bumbung beri rupa lasak, walaupun kit lift dan tayar lebih agresif mungkin buatnya lebih meyakinkan untuk off-road.
Ruang tidur untuk empat orang
Akses ke kabin melalui pintu belakang dengan tangga elektrik. Masuk sahaja, suasananya mirip motorhome premium — cuma semuanya dipadatkan dalam saiz kei truck.
Ruang makan ada meja dan dua sofa yang boleh ditukar menjadi katil double. Di atas kabin, satu lagi katil double memanfaatkan ruang menegak tambahan.
Secara teori, Dune Rover boleh memuatkan empat orang untuk tidur, tetapi agak sempit. Dua lagi penumpang juga perlukan kenderaan lain kerana Hijet kekal dua tempat duduk sahaja.
Walaupun kecil, ia masih memuatkan sinki, microwave, peti sejuk 35 liter, TV, ruang simpanan bawah katil, lampu ambien dan unit A/C. Ada juga panel kawalan dan banyak port USB.
Satu-satunya kekurangan ialah tiada tandas atau pancuran — tetapi untuk saiz sebegini, memang sukar untuk dimuatkan.
Semua kelengkapan ini dikuasakan bateri lithium-ion 100Ah, dengan pilihan naik taraf ke 200Ah. Panel solar 100W juga ditawarkan untuk tambah masa off-grid.
Jika Dune Rover terlalu rugged, Direct Cars turut menawarkan PLAT, satu lagi camper berasaskan Hijet tetapi lebih fokus kepada kegunaan bandar.
Ia lebih aerodinamik, ada pintu sisi, awning dan ruang dapur lebih besar.
Enjin 660 cc, Pilihan 2WD atau 4WD
Kedua-dua camper ini masih menggunakan asas Daihatsu Hijet, dengan enjin kecil 660cc yang menghasilkan sehingga 63 hp dalam versi turbo.
Bergantung pada model, ia datang dengan pacuan belakang atau 4WD, serta pilihan manual 5-kelajuan atau CVT.
Harga
Menurut syarikat, PLAT bermula pada ¥4,390,000 (RM111,849) manakala Dune Rover bermula ¥5,980,000 (RM152,361).
Dengan pilihan tambahan, harganya boleh mencecah ¥7,178,000 (RM182,884), agak mahal untuk saiznya.
Jika harga atau saiz ini kurang meyakinkan, syarikat sama turut menawarkan camper berasaskan Toyota Dyna, HiAce dan Hilux untuk mereka yang mahu ruang lebih besar.




































