
Koenigsegg secara rasminya telah menyerahkan unit terakhir Jesko, sekali gus melabuhkan tirai pengeluaran hypercar utama mereka itu selepas melengkapkan kuota 125 unit.
Jentera penutup tirai tersebut merupakan varian seretan rendah (low-drag) Absolut dengan spesifikasi unik yang diberi nama gelaran Jesko 125.
Walaupun pihak Koenigsegg tidak mendedahkan identiti pemiliknya dalam hantaran media sosial mereka, sebuah video yang tular di internet menunjukkan ia ditempah khas oleh pemain tenis Rusia, Daniil Medvedev.
Bekas pemain nombor satu dunia itu dilihat menerima kunci jentera tersebut dalam satu majlis khas yang berlangsung di kilang Koenigsegg di Ängelholm, Sweden.
Bahagian luaran Jesko 125 tampil menyerlah dengan warna rona champagne yang dipanggil Skumpa, dipadankan bersama jalur tengah gentian karbon berwarna hijau yang diinspirasikan daripada model Regera.
Kemasan gentian karbon terdedah turut menghiasi rim lima jejari di gandar hadapan serta penutup aero di belakang, selari dengan rekaan splitter, side skirt, dan diffuser belakang.
Menjengah ke ruang kabin, tema gentian karbon hijau diteruskan dan digabungkan bersama balutan kulit berwarna coklat dan beige.
Melengkapkan lagi suasana mewah adalah kemasan logam berwarna rose gold serta sulaman angka “125” pada bahagian penyandar tempat duduk.
Model Jesko yang dinamakan sempena bapa kepada pengasasnya, Christian von Koenigsegg, mula diperkenalkan pada tahun 2019 sebelum penghantaran pertama bermula pada 2023.
Pengganti kepada model Agera ini dikuasakan oleh enjin 5.0 liter V8 turbo berkembar yang menghamburkan kuasa sehingga 1,600 hp (1,622 PS) dan tork 1,500 Nm apabila menggunakan bahan api E85.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear sembilan kelajuan multi-clutch Light Speed Transmission (LST).
Pembeli sebelum ini diberikan dua pilihan varian dengan kit badan berbeza iaitu Jesko Attack yang memfokuskan pengendalian litar, serta Jesko Absolut yang direka untuk kelajuan maksimum tertinggi.
Varian Absolut hadir dengan simulasi kelajuan tertinggi mencecah 531 km/j (330 mph) yang masih belum diuji secara rasmi di dunia nyata.
Namun begitu, Jesko sudah pun mencipta pelbagai rekod dunia, termasuk catatan masa terpantas bagi pecutan 0-400-0 km/j dalam masa 25.21 saat, serta rekod kereta produksi terpantas pada kelajuan 305.39 km/j di garisan penamat suku batu (quarter-mile) dengan catatan masa 8.54 saat.
Dengan jumlah pengeluaran sebanyak 125 unit, Jesko memegang status sebagai hypercar dua tempat duduk dengan jumlah pengeluaran tertinggi dalam sejarah Koenigsegg.
Ia mengatasi rekod model terdahulu seperti CC8S (6 unit), CCR (14 unit), keluarga CCX (49 unit), keluarga Agera (65 unit), dan Regera (80 unit).
Buat masa ini, Koenigsegg masih belum mengesahkan sebarang pembangunan pengganti langsung untuk model Jesko.
Pengeluar dari Sweden itu kini sibuk dengan pengeluaran hypercar empat tempat duduk Gemera, di samping menyiapkan baki tempahan bagi model edisi terhad CC850 dan CCGT1.
Kedua-dua model tersebut masih mengekalkan asas kejuruteraan Jesko termasuk kerangka monocoque gentian karbon dan enjin 5.0 liter V8 turbo berkembar.

































