Koenigsegg Sadair’s Spear, nama unik sempena kuda tunggangan bapa, 1,625 hp!

93

Koenigsegg memperkenalkan Sadair’s Spear, sebuah kereta hiper yang menandakan perkembangan dalam evolusi prestasi jenama ini.

Model ini menggabungkan peningkatan kuasa, pengurangan berat, bahagian dalaman yang direka khusus untuk litar, serta sistem brek dan suspensi yang dinaik taraf.

Dengan aerodinamik yang ditala dengan teliti, Sadair’s Spear direka untuk menawarkan keupayaan litar yang tinggi dan pada yang sama sah untuk dipandu di jalan raya.

Nama yang Berakar Umbi dalam Legasi Keluarga

Inspirasi di sebalik nama Sadair’s Spear mempunyai makna peribadi bagi pengasasnya.

Christian von Koenigsegg menamakan Koenigsegg Jesko sempena bapanya, Jesko, bagi memperingati ulang tahun kelahirannya yang ke-80.

Ini adalah penghormatan atas sokongan Jesko semasa tahun-tahun awal penubuhan Koenigsegg.

Jesko von Koenigsegg merupakan seorang joki yang bersemangat dan mempunyai hubungan akrab sepanjang hayatnya dengan komuniti ekuestrian di Sweden.

Kuda lumba kegemaran beliau, Sadair’s Spear, merupakan tunggangannya dalam perlumbaan terakhir pada tahun 1976.

Oleh itu, kereta yang menggunakan nama ini direka untuk prestasi puncak di litar.

Ciri-Ciri Prestasi

Sadair’s Spear dilengkapi dengan ciri-ciri yang meningkatkan prestasi secara ketara:

  • Sayap belakang aktif dwi-bilah yang ringan dan dipasang di atas, dioptimumkan untuk meningkatkan daya mendap (downforce).
  • Reka bentuk bahagian belakang yang lebih panjang untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik dan kestabilan.
  • Kanard hadapan yang diperbesar, liang dan lubang hud yang direka semula, termasuk kepak Gurney baharu untuk penyejukan lebih baik bagi prestasi tinggi yang berterusan.
  • Saluran masuk udara yang direka bentuk semula untuk pernafasan enjin yang lebih cekap, menambah 20 hp dengan bahan api standard dan 25 hp menggunakan E85.
  • Keupayaan penyejukan minyak yang dipertingkatkan, penting untuk pemanduan litar yang berterusan dalam keadaan suhu tinggi.
  • Roda gentian karbon Aircore Sadair’s Spear 7-jejari eksklusif dengan reka bentuk arah unik di setiap sudut.
  • Tayar yang lebih lebar dan berorientasikan litar yang dinaik taraf untuk cengkaman.
  • Persediaan suspensi khas yang menampilkan pegas ringan dan peredam Triplex rekaan Koenigsegg untuk pengendalian litar.
  • Brek karbon-seramik berbilang lapisan yang dipertingkatkan dengan bahan pad yang dinaik taraf.
  • Penggayaan dalaman khusus eksklusif untuk Sadair’s Spear, termasuk tempat duduk perlumbaan unik dengan tali pinggang keledar 6-mata pilihan di pasaran terpilih.

Aerodinamik: Pengurusan Aliran Udara

Prestasi aerodinamik adalah aspek penting bagi Sadair’s Spear.

Pasukan CFD termaju Koenigsegg telah mengoptimumkan aliran udara secara teliti, bertujuan untuk meningkatkan daya mendap dan penyejukan.

Sayap belakang dwi-bilah aktif yang dipasang di atas direka dengan teliti untuk cengkaman maksimum ketika membelok pada kelajuan litar.

Ia berfungsi selaras dengan sirip bawah lantai dan sirip udara pada lengkungan roda yang dioptimumkan.

Untuk mengimbangi daya mendap belakang, pakej aero bahagian hadapan termasuk kanard yang lebih besar, lubang hud yang dipertingkatkan dan sirip udara lengkungan roda yang dioptimumkan turut meningkatkan kecekapan penyejukan dan daya mendap.

Bersama-sama dengan peredam Triplex hadapan dan sistem Ketinggian Pemanduan Aktif, penambahbaikan ini menyumbang kepada maklum balas stereng dan pengendalian dinamik.

Corong hud belakang yang direka khas meningkatkan prestasi enjin pada kelajuan tinggi, manakala lubang hud hadapan yang disemak semula dengan kepak Gurney bersepadu memastikan aliran udara penyejukan yang optimum dan menyediakan daya mendap tambahan di kawasan kritikal.

Rangkaian kuasa V8 turbo berkembar

Sadair’s Spear digerakkan enjin 5.1 liter V8 turbo berkembar, dengan respons yang tinggi melalui Light Speed Transmission (LST) revolusioner tanpa roda tenaga dan mampu mencapai putaran 46,000 rpm/saat.

Aliran udara dan penyejukan yang dipertingkatkan, ditambah dengan kemas kini penentukuran enjin, meningkatkan output kepada 1,300 kuasa kuda (hp) dengan bahan api tanpa plumbum biasa atau sehingga 1,625 hp menggunakan bahan api E85 yang mesra alam.

Sempena meraikan sedekad sejak Koenigsegg One:1 diperkenalkan, Sadair’s Spear terus menganjakkan sempadan dalam nisbah kuasa-ke-berat.

Dengan mengurangkan kira-kira 35 kilorgam (kg) berat, kereta ini kini berjaya mencapai, malah melebihi penanda aras 1:1 (iaitu, satu kuasa kuda untuk setiap satu kilogram berat kenderaan).

Koenigsegg meneruskan legasi sebagai salah satu pengeluar utama kenderaan jalan raya yang dihomologasi sepenuhnya di dunia yang melebihi nisbah kuasa-ke-berat 1:1.

Bahagian Dalaman: Minimalisme Bertemu Prestasi

Di bahagian dalam, kokpit Sadair’s Spear dilengkapi konsol tengah yang ringan dan minimalis serta tempat duduk gentian karbon yang direka bentuk semula.

Tali pinggang keledar tiga sudut standard boleh dinaik taraf secara pilihan kepada tali pinggang keledar perlumbaan 6 sudut di pasaran terpilih.

Selaras dengan falsafah berorientasikan litar, pertukaran gear melalui Light Speed Transmission dilaksanakan hanya melalui pedal pada stereng.

Program pengurangan berat berterusan pada bahagian dalam dengan penjimatan 2.6 kg melalui penebat bunyi yang dikurangkan dan tambahan 1.3 kg dengan teknik gentian karbon baharu.

Sumbangan dari komponen dalaman dan mekanikal yang ringan, secara keseluruhan mengurangkan 35 kg.

Keselesaan dan ciri-ciri canggih Koenigsegg dikekalkan seperti paparan SmartCluster pada stereng, antara muka SmartCenter, sambungan USB, pengecasan telefon induktif, sistem Autoskin inovatif Koenigsegg dan bantuan parkir pandangan atas.

Bukti Prestasi dan Jumlah Terhad

Semasa ujian awal di Gotland Ring, Sadair’s Spear memecahkan rekod pusingan sebelumnya yang ditetapkan oleh Jesko Attack sebanyak 1.1 saat.

Hanya 30 unit Sadair’s Spear dihasilkan. Menariknya, kesemua unit ini habis terjual serta-merta selepas ia didedahkan secara peribadi, sekaligus menjadi penambah nilai kepada legasi Koenigsegg.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here