Utama Berita Automotif Thailand mula pemasangan Honda Avancier

Thailand mula pemasangan Honda Avancier

2

Honda secara rasmi memulakan pengeluaran SUV Avancier serba baharu di kemudahan pemasangan Prachinburi, Thailand.

Negara jiran itu akan memulakan jualan model berkenaan bermula 1 Disember 2026 sempena Thailand International Motor Expo (2026).

Selepas Thailand, SUV tiga baris tempat duduk itu bakal melakukan debut di beberapa pasaran lain termasuk Jepun (dijadualkan pada musim bunga 2027), Australia dan New Zealand. Honda turut mengesahkan bahawa Avancier bakal menembusi pasaran China.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada unit keluaran Thailand akan ditukar kepada konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD), atau pasaran China akan menerima barisan pemasangan khusus.

Honda Avancier menggunakan platform Honda Hybrid generasi baharu yang menjanjikan kenderaan yang lebih mampu milik serta menjimatkan bahan api.

Ia menjadi model pertama Honda yang dilengkapi sistem Honda Hybrid generasi baharu, iaitu evolusi daripada sistem e:HEV sedia ada.

Walaupun perincian penuh rangkaian kuasa masih belum didedahkan secara rasmi, Avancier dijangka menggunakan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson yang telah direka bentuk semula secara menyeluruh berbanding versi semasa.

Bakal bersaing dengan Mazda CX-80, ia juga menjadi model pertama yang menggunakan rekaan baharu logo ‘H’. 

 

Penampilan luaran pula berasaskan bahasa rekaan baharu yang digelar sebagai Grand Journey dengan gabungan penampilan futuristik dan canggih bersama ciri-ciri sporty.

Bahagian hadapan menampilkan lampu utama LED yang nipis bersama gril yang menyerlah manakala profil sisi  mengetengahkan struktur mengalir yang berorientasikan garisan mendatar serta permukaan badan ringkas dengan lekukan minimum.

 

Di bahagian belakang, kombinasi lampu bercirikan garisan lurus dan sudut 90 darjah menyerlahkan lagi arca roda, sekali gus mencipta penampilan yang sporty.

Honda turut memilih rekaan pemegang pintu luar jenis flush serta spoiler pintu but nipis yang menyembunyikan pengelap cermin belakang. 

 

Di bahagian dalaman, kabin mewah merupakan tindak balas terhadap saingan kenderaan China dengan pemilihan skrin infotainmen besar serta penggunaan butang kawalan yang minimum. 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here