
Honda Malaysia Racing Team (HMRT) melakar kemenangan keseluruhan dalam perlumbaan Sepang 1,000 Kilometres (S1K) pada Sabtu lalu, selepas menamatkan penantian 11 tahun sejak kejayaan terakhir pada 2015.
Dipandu Putera Adam Halim dan Avila Bahar, kereta No. 27 melintasi garisan penamat di Litar Antarabangsa Sepang selepas melengkapkan 181 pusingan dalam masa lapan jam, 16 minit dan 19.311 saat.
HMRT turut mencatat rekod pusingan baharu S1K iaitu 2:31.504.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, keputusan itu membuktikan semangat HMRT yang tidak gentar menyahut cabaran.
“Perlumbaan 1,000 kilometer tidak pernah dimenangi bersendirian, dan anggota kru saling menyokong antara satu sama lain dalam setiap pusingan dan hentian pit.
“Kemenangan ini adalah hasil langsung daripada pengajaran yang dipelajari dan kerja berpasukan tanpa henti,” katanya.
Katanya, di Honda, perlumbaan bukan semata-mata mengenai kemenangan, sebaliknya mengenai ketabahan untuk bangkit mengatasi halangan.

Pengurus Pasukan HMRT, Thayalakumaran Dorai Rethinam berkata, tumpuan utama pasukan ketika membangunkan kereta tahun ini adalah kebolehpercayaan, selain menyasarkan kemenangan.
“Pelumba kami cemerlang di litar, melaksanakan peranan mereka dengan tepat dan penuh keazaman. Kereta No. 27 mendahului perlumbaan dengan enam pusingan dan meraih kemenangan luar biasa, manakala kedua-dua kereta lumba kami berjaya menamatkan perlumbaan,” katanya.
Bagi S1K, Honda Malaysia bertanding dengan dua Honda Civic kelas M-Production. Kereta No. 26 dipandu Aaron Lim, Farriz Fauzy dan Lai Wee Sing, manakala Kereta No. 27 dipandu Putera Adam Halim dan Avila Bahar.
Kedua-dua kereta dipasang di kilang Melaka oleh ahli HMRT yang meluangkan masa selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu bagi memastikan jentera bersedia untuk perlumbaan.

Jentera itu dikuasakan enjin 1.5L VTEC Turbo Honda dan dibina mengikut spesifikasi sama seperti kereta di atas jalan raya, dipertingkatkan melalui kejuruteraan dan penalaan dalaman, dilengkapi tetapan suspensi, brek dan aerodinamik spesifikasi ketahanan.
HMRT yang diasaskan pada 2003 terdiri daripada 29 rakan sekerja dari kilang pemasangan Honda Malaysia di Pegoh, Melaka, dan pejabat korporat di Petaling Jaya, Selangor.
Keputusan itu mencerminkan pelaburan berterusan Honda Malaysia dalam HMRT sejak kemenangan keseluruhan S1K terakhirnya pada 2015 dengan Honda Jazz dan Honda City.





























