Utama Berita Automotif JETOUR himpun media global, pamer teknologi terkini

JETOUR himpun media global, pamer teknologi terkini

6

Fungsi kenderaan pada hari ini bukan sekadar untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, malah menjadi teman perjalanan bersama keluarga untuk meneroka destinasi baharu.

Idea itu diketengahkan JETOUR menerusi JETOUR Global Technology Experience Day 2026 yang akan berlangsung dari 20 hingga 23 Oktober ini di China.

Bertemakan Future Travel Starts Now, acara itu bakal menghimpunkan wakil media, pencipta kandungan dan pengguna dari pelbagai negara untuk melihat lebih dekat perkembangan teknologi JETOUR.

Sepanjang acara, peserta akan dibawa ke beberapa lokasi termasuk Wuhu di Wilayah Anhui, Moganshan dan Tasik Xiazhu di Wilayah Zhejiang bagi merasai sendiri kemampuan teknologi jenama itu dalam keadaan jalan sebenar, merangkumi laluan bandar, pergunungan dan tanah lembap.

Menurut JETOUR, teknologi automotif tidak seharusnya hanya menarik melalui paparan digital atau senarai spesifikasi, sebaliknya perlu memberi manfaat yang boleh dirasai pemandu dan penumpang, sama ada untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

Melalui pendekatan Travel+, JETOUR menggabungkan dunia automotif dengan minat terhadap perjalanan dan aktiviti luar, yang turut mempengaruhi pembangunan kenderaannya bagi memenuhi keperluan pengguna yang gemar meneroka.

Antara teknologi yang bakal diketengahkan ialah:

  • sistem XWD Fully Automatic Intelligent AWD
  • GAIA All-Terrain Intelligent Architecture

Sistem ini direka untuk membantu kenderaan menghadapi pelbagai keadaan jalan termasuk laluan berbatu, kawasan pergunungan, lintasan air dan cerun curam.

JETOUR turut menampilkan sistem hibrid C-DM yang menggabungkan prestasi dengan penggunaan tenaga lebih cekap, sesuai untuk pemanduan harian di bandar dan perjalanan jarak jauh.

Selain prestasi, aspek keselesaan kabin turut diberi tumpuan menerusi pembangunan kabin pintar yang menggabungkan teknologi mesra pengguna, ruang dalaman luas dan suasana lebih senyap, sesuai untuk perjalanan bersama keluarga.

Teknologi bantuan pemanduan pintar dan sistem pengisian tenaga turut menjadi sebahagian daripada pengalaman yang ingin diketengahkan bagi memberikan perjalanan lebih selesa.

Sejak diperkenalkan pada 2018, JETOUR menjadikan Travel+ sebagai asas utama identitinya dan kini berada di lebih 100 negara dan rantau dengan jumlah jualan global terkumpul melebihi 2.56 juta unit.

JETOUR Global Technology Experience Day 2026 akan menjadi platform untuk jenama itu berkongsi perkembangan terbaharu serta menunjukkan bagaimana teknologi yang dibangunkan dapat digunakan dalam pelbagai keadaan, bukan sekadar memperkenalkan ciri kenderaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai jenama dan rangkaian kenderaan JETOUR di Malaysia, layari laman web rasmi JETOUR Malaysia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here