
OMODA | JAECOO bakal memperkenalkan model terbaharunya, OMODA X, pada acara OMODA X Night yang dijadual berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan OMODA | JAECOO, acara berkenaan akan menggabungkan inovasi automotif, fesyen, muzik dan teknologi dalam satu platform antarabangsa.
Acara itu juga akan menghimpunkan pelbagai tokoh dan pemilik kenderaan jenama berkenaan dari seluruh dunia, sekali gus mengetengahkan kepelbagaian budaya serta kreativiti generasi muda.
Penampilan sulung global OMODA X akan memperkenalkan evolusi baharu reka bentuk kenderaan crossover berteraskan falsafah CROSSVOLUTION, yang menekankan inovasi, kreativiti dan pendekatan melangkaui reka bentuk konvensional.

Model baharu itu dijangka mengetengahkan gabungan reka bentuk futuristik berinspirasikan mekanikal dengan elemen geometri, selain ciri sporty yang mencerminkan gaya hidup moden dan aktiviti luar.
Menurut syarikat itu, OMODA X dibangunkan berasaskan pendekatan yang menggabungkan keperluan mobiliti bandar dengan gaya hidup pengguna yang gemar meneroka pelbagai pengalaman.
Selain pelancaran model baharu, OMODA X Night turut menampilkan wakil Miss World dari beberapa negara yang akan berkongsi pentas bagi meraikan kepelbagaian budaya, fesyen antarabangsa dan ekspresi individu.
Syarikat penyelidikan dan perundingan global, Kantar, juga dijadual berkongsi pemerhatian terkini mengenai budaya generasi muda, termasuk perubahan minat, keperluan emosi serta pandangan mereka terhadap kehidupan.

Perkongsian itu bertujuan memberikan gambaran tentang bagaimana perkembangan fesyen, teknologi dan muzik mempengaruhi trend serta gaya hidup golongan muda di peringkat global.
Dalam pada itu, pemilik kenderaan OMODA | JAECOO dari pelbagai negara turut dijadual mempersembahkan sebuah lagu khas yang didedikasikan kepada jenama berkenaan sebagai simbol hubungan komuniti pengguna di seluruh dunia.
Menurut kenyataan itu, penganjuran OMODA X Night bukan sahaja bertujuan memperkenalkan produk automotif baharu, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dengan pengguna serta mengetengahkan kreativiti merentas budaya.
OMODA | JAECOO turut menegaskan komitmennya untuk membangunkan ekosistem O-UNIVERSE berteraskan konsep People + Car + Life, yang menggabungkan teknologi automotif dengan keperluan dan gaya hidup pengguna.




























