Utama Berita Automotif Mesej peminat Malaysia hiasi jaket batik Hamilton, Leclerc

Mesej peminat Malaysia hiasi jaket batik Hamilton, Leclerc

4

Hampir 600 mesej peminat Malaysia diabadikan pada dua rekaan jaket berinspirasikan batik yang dihadiahkan kepada pelumba Scuderia Ferrari HP, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc, menerusi kempen Shell V-Power sempena hujung minggu perlumbaan di Sepang.

Jaket hasil kerjasama pereka tempatan, Jeffrey Goh daripada Inisaya itu membawa sentuhan Malaysia kepada kempen yang menghimpunkan ribuan peminat menerusi pertandingan, aktiviti media sosial dan pengalaman bersama pasukan berkenaan.

Shell menerima lebih 1,000 respons selepas mengajak rakyat Malaysia meninggalkan mesej buat Hamilton dan Leclerc, dengan hampir 600 komen dipilih untuk menjadi sebahagian daripada dua rekaan jaket tersebut.

Kedua-dua jaket itu diserahkan kepada pelumba berkenaan ketika sesi penampilan khas untuk pemenang pertandingan, sebelum dipamerkan sepanjang tiga hari hujung minggu perlumbaan.

Peminat yang mengunjungi ruang aktiviti Shell V-Power turut berpeluang melihat bagaimana kata-kata sokongan mereka diterjemahkan menjadi elemen rekaan pakaian berkenaan.

Kempen bermula dengan mesej bayangan mengenai satu rahsia BESAR yang mengajak orang ramai meneka pengalaman istimewa disediakan Shell, dengan ratusan peserta meneka tepat, menerima balasan kejutan melalui mesej peribadi sebelum butiran penuh kempen diumumkan.

Dari 24 Ogos hingga 20 September 2026, pelanggan mengumpul penyertaan melalui Shell App untuk merebut ganjaran seperti pas hujung minggu perlumbaan, akses di sebalik tabir dan peluang menghadiri sesi penampilan khas pelumba Scuderia Ferrari HP.

Aktiviti bersama peminat kemudian berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di stesen Shell di Sepang, dengan ratusan pengunjung menyertai pengalaman disediakan.

Kemeriahan turut berlanjutan di media sosial apabila kandungan perkongsian pengalaman oleh pencipta kandungan meraih ratusan ribu tontonan, selain peminat berkongsi gambar bersama paparan imej pelumba Scuderia Ferrari HP di stesen Shell.

Pengurus Besar GrowthOps Asia, Chris Greenough berkata, sukan permotoran kini melangkaui aksi di litar apabila turut menjadi sebahagian daripada budaya dan hiburan.

“Kempen ini memberi pelbagai ruang kepada rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian, daripada menerima mesej peribadi Shell dan merebut akses eksklusif, hinggalah menyumbangkan kata-kata sokongan melalui penghargaan bercirikan Malaysia,” katanya.

Kempen bersepadu itu dibangunkan bersama GrowthOps Asia selaku agensi kreatif utama, dengan penglibatan InvictusBlue bagi media, Edelman bagi perhubungan awam, Skinny Fat Kids bagi pelaksanaan aktiviti dan We Are Kix bagi penerbitan kandungan.

Shell memaklumkan kempen tersebut membantu meningkatkan jualan V-Power, manakala minat carian dan perbualan media sosial berkaitan bahan api itu mencatat peningkatan hampir 200 peratus.

Pengurus Besar Shell Mobility and Convenience Malaysia, Zairi Dzuljastri berkata, kempen itu memberi peluang kepada pelanggan untuk mendekati dunia Scuderia Ferrari HP melalui pengalaman yang melangkaui apa yang lazimnya dapat disaksikan dari tempat duduk penonton.

“Hubungan Shell dengan pasukan tersebut turut merangkumi usaha meningkatkan prestasi dan inovasi, dengan pengetahuan daripada kerjasama itu digunakan bagi pembangunan bahan api dan pelincir untuk pelanggan,” katanya.

Kerjasama inovasi Shell dan Scuderia Ferrari HP berasaskan hubungan teknikal lebih 75 tahun, termasuk pembangunan bersama bahan api dan pelincir berprestasi tinggi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here