
PUBG Mobile mengumumkan kerjasama global dengan pasukan perlumbaan ternama, Scuderia Ferrari HP.
Kerjasama ini bakal membawakan legasi dan prestasi jentera Ferrari ke dalam medan tempur permainan itu bermula tahun 2026.
Ini adalah kolaborasi pertama PUBG Mobile bersama Scuderia Ferrari HP dan menerusi kerjasama ini, pemain bakal menikmati pengalaman memandu beberapa kereta sports dari rangkaian Ferrari secara maya di dalam permainan.
Selain kenderaan, kerjasama ini juga akan memperkenalkan pelbagai kandungan bertema Ferrari dan Scuderia Ferrari HP yang eksklusif.
Ketua Penerbitan PUBG Mobile di Tencent Games, Vincent Wang menyifatkan kerjasama ini sebagai satu kebanggaan.
“Perkongsian ini membawa semangat ketepatan dan prestasi tinggi yang menjadi identiti Ferrari ke dalam PUBG Mobile, memberikan pemain di seluruh dunia peluang merasai intipati kecemerlangan jenama ini dalam permainan pada tahun 2026,” katanya.

Kerjasama itu bertujuan membolehkan pemain merasai inovasi dan penguasaan teknikal di sebalik kejuruteraan Ferrari melalui elemen dalam permainan yang mendalam.
Ketua Pegawai Hasil Perlumbaan di Ferrari, Lorenzo Giorgetti turut menyambut baik inisiatif ini.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PUBG Mobile dalam satu kolaborasi yang menyatukan dua jenama yang diinspirasikan oleh prestasi, inovasi, dan sikap untuk sentiasa berusaha.
“Melalui perkongsian ini, pemain boleh merasai dedikasi Ferrari terhadap penguasaan kejuruteraan dalam persekitaran interaktif yang baharu,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai perincian kandungan dan tarikh pelancaran khusus bagi kerjasama antara PUBG Mobile dan Scuderia Ferrari HP ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

























