
Leapmotor mempunyai dua model di pasaran tempatan iaitu C10 dan B10. Di China Leapmotor menawarkan lebih banyak model dengan yang terbaru SUV kompak A10 atau B03X untuk pasaran global.
Model ini merupakan kenderaan pertama yang dibangunkan menggunakan platform global baharu Leapmotor A, dan diposisikan sebagai smart premium long-range SUV dalam segmen SUV kompak.
Platform Global Baharu Leapmotor A
Leapmotor A10/B03X dibangunkan bagi memecahkan tiga tanggapan utama industri automotif iaitu kenderaan premium mesti mahal, kereta kecil berspesifikasi rendah dan dimensi kompak perlu berkompromi dari segi ruang.
Melalui seni bina terkini Leapmotor, model ini menawarkan tahap kepintaran setara model perdana, jarak pemanduan EV terbaik dalam kelas, ruang fleksibel serta kualiti global.
Dimensi Kompak, Ruang Dalaman Maksimum
Dari segi saiz, A10/B03X memiliki panjang melebihi 4,200 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,600 mm, dengan jarak roda melebihi 2,600 mm.
Konfigurasi ini memberikan postur SUV sambil mengekalkan kebolehgerakan tinggi untuk kegunaan bandar, serta ruang kabin yang luas untuk semua penumpang.
Teknologi Pintar dan Seni Bina LEAP
Dibina di atas seni bina LEAP terkini, A10/B03X menyokong sistem bantuan pemanduan canggih dari pintu ke pintu (menyeluruh), kokpit pintar berasaskan AI serta kemas kini perisian OTA sepenuhnya sepanjang kitaran hayat kenderaan.
Pendekatan ini membolehkan fungsi kenderaan terus berkembang selepas pembelian.
Prestasi EV dan Jarak Pemanduan
Dari sudut prestasi elektrik, Leapmotor A10/B03X menggunakan bateri LFP berketumpatan ultra tinggi dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 500 km (CLTC)
Ini meletakkannya sebagai antara model dengan jarak pemanduan terbaik dalam segmen SUV kompak elektrik.
Rekaan dan Identiti Visual
Rekaan luaran Leapmotor A10/B03X menampilkan profil aerodinamik dengan pekali seretan sekitar Cd 0.26, selain pemegang pintu separa tersembunyi, rekaan bumbung terapung dan rim aloi bersaiz 18 inci.
Bahagian pencahayaan hadapan dan belakang pula diberikan identiti visual berbentuk senyuman, sebagai identiti model ini.
Bahagian dalaman pula menggunakan bahan premium dan teknologi intuitif, selari dengan visi Leapmotor untuk mobiliti bandar yang lebih pintar, hijau dan bergaya.
Sasaran Pembeli
Leapmotor menyasarkan A10/B03X kepada pengguna yang mahukan kenderaan kedua premium tetapi mampu milik untuk kegunaan harian, serta pembeli EV kali pertama yang beralih daripada kenderaan ICE kompak tanpa mengorbankan aspek keselamatan, ruang dan teknologi pintar.
Adakah B03X bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan?
Belum ada berita mengenainya dan model ini masih baharu dan akan dibawa ke Pameran Brussels Motor Show 2026 pada Januari depan.



































