Utama Berita Automotif Yangwang U9 Xtreme cecah 503.17km/j, kereta produksi paling laju di dunia!

Yangwang U9 Xtreme cecah 503.17km/j, kereta produksi paling laju di dunia!

7

Yangwang, jenama mewah di bawah pengeluar kenderaan tenaga baharu (NEV) terbesar dunia, BYD, mencipta rekod kelajuan baharu menerusi kereta hiper elektrik U9 Xtreme dengan kelajuan 503.17km/j di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Pencapaian pada 1 November 2026 itu mengatasi rekod terdahulu 496.22km/j yang dicatatkan model sama di ATP Papenburg, Jerman, pada September 2025.

Dengan kuasa melebihi 3,000PS, U9 Xtreme turut memperoleh dua pengiktirafan seperti berikut

  • Kelajuan tertinggi kereta produksi dalam satu percubaan sehala.
  • Kelajuan tertinggi kereta produksi elektrik dalam satu percubaan sehala.

Rekod itu turut diiktiraf Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Percubaan dilakukan di Jalan Antarabangsa Sheikh Khalifa Bin Zayed (E11) dengan Marc Basseng yang mencatatkan rekod terdahulu, kembali mengendalikan kereta berkenaan.

Perjalanan Mencapai 503.17km/j

Pembangunan U9 Xtreme bermula daripada model U9 yang mencatatkan kelajuan 309km/j di Lapangan Terbang Wuhan Hannan, China, pada Januari 2024.

Rekod kelajuan model itu kemudian meningkat kepada 391.94km/j di ATP Papenburg pada Oktober 2024.

Perkembangan seterusnya adalah seperti berikut:

Yangwang U9 Xtreme – Marc Basseng

Bagi percubaan di Abu Dhabi, pihak berkuasa menutup laluan sepanjang 10km, termasuk laluan lurus tujuh kilometer.

Pasukan kejuruteraan melakukan beberapa penyesuaian sebelum percubaan terakhir, termasuk:

  • Mengoptimumkan suhu bateri dan motor.
  • Melaraskan sudut sayap belakang untuk meningkatkan daya mendap gandar belakang.
  • Mengubah suai perisian suspensi bagi meningkatkan redaman lantunan.
  • Menala tekanan tayar untuk kestabilan pada kelajuan tinggi.

Selain rekod kelajuan maksimum, U9 Xtreme turut mencatatkan masa 6 minit 59.157 saat di Nürburgring Nordschleife, Jerman.

Rekod itu meletakannya sebagai kereta produksi elektrik terpantas di litar tersebut.

Empat Motor Elektrik Lebih 3,000PS

Yangwang U9 Xtreme 2025

U9 Xtreme menggunakan empat motor elektrik bebas yang mampu beroperasi sehingga 30,000rpm.

Setiap motor menghasilkan 755PS (555kW), dengan kuasa gabungan melebihi 3,000PS.

Angka ini lebih dua kali ganda berbanding U9 standard yang menghasilkan 1,287PS.

Nisbah kuasa kepada berat pula mencapai 1,217PS setiap tan.

Antara teknologi motor yang digunakan termasuk:

  • Keluli silikon super nipis setebal 0.1mm pada stator.
  • Keluli silikon berkekuatan ultra tinggi 970MPa pada rotor.
  • Perumah motor aluminium gred aeroangkasa.

Sistem e4 Platform menggunakan teknologi pengagihan tork bebas (torque vectoring) untuk setiap roda.

Sistem ini memantau tindak balas jalan dan melaraskan tork lebih 100 kali sesaat bagi mengekalkan kestabilan serta cengkaman.

Platform 1,200V dan Bateri Blade

Yangwang U9 Xtreme 2025

U9 Xtreme merupakan model produksi pertama yang menggunakan platform elektrik ultra pantas 1,200V, berbanding 800V pada U9 standard.

Sistem tersebut menyokong arus sehingga 1,000A untuk meningkatkan kecekapan dan pengurusan haba.

Model ini masih menggunakan bateri Blade dengan kimia litium ferum fosfat (LFP).

Antara peningkatan bateri termasuk:

  • Ketumpatan kuasa setiap sel meningkat 170 peratus berbanding sistem 800V.
  • Kadar nyahcas sehingga 30C.
  • Output kuasa sehingga 1,800kW walaupun pada tahap cas bateri (SOC) 20 peratus.
  • Kadar pemulihan tenaga maksimum melebihi 700kW.
  • Penghasilan haba berkurang sehingga 67 peratus berbanding sistem 800V pada output kuasa sama.

Suspensi DiSus-X dan Tayar Giti

Yangwang U9 Xtreme 2025

Sistem kawalan badan pintar DiSus-X menggunakan penyerap hentak elektronik injap berkembar dengan lebar jalur melebihi 12kN.

Sistem ini mampu menghasilkan daya aktif sehingga 50kN dalam 120 milisaat dan melaraskan suspensi setiap roda secara bebas.

Teknologi tersebut membantu mengurangkan olengan badan ketika memecut dan membrek.

Ia juga membolehkan kereta mengambil selekoh dengan olengan sifar atau negatif, termasuk kecondongan ke dalam selekoh sehingga 2.43 darjah pada daya sisi 0.3g.

Bagi tayar, Yangwang bekerjasama dengan Giti Tire untuk membangunkan tayar semi-slick khusus kegunaan litar.

Ciri-cirinya termasuk:

  • Bahan kompaun dan corak bunga khusus.
  • Rawatan knurling pada permukaan sentuhan rim.
  • Pelincir berkelikatan tinggi untuk mengurangkan gelinciran antara tayar dengan rim.

Gabungan teknologi tersebut membantu mengurangkan kehilangan tork dan kehausan tayar serta meningkatkan kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Terhad 30 Unit Untuk Pasaran Global

Yangwang U9 Xtreme – Marc Basseng

Unit pertama U9 Xtreme yang dibina mengikut spesifikasi produksi dinamakan Dawn Moment dan diperkenalkan pada Pameran Auto Beijing tahun ini.

Kemasan badan menggunakan serbuk emas ultra halus bersaiz mikron yang dilindungi beberapa lapisan salutan jernih.

Bahagian emas matte pula menggunakan teknik penggilapan yang diinspirasikan daripada seni lakuer tradisional China.

Yangwang U9 Xtreme hanya akan dihasilkan sebanyak 30 unit untuk pasaran global.

Setiap unit merupakan hasil tempahan khas mengikut cita rasa pelanggan.

Beberapa pelanggan sudah mengesahkan spesifikasi pilihan masing-masing dan kini memasuki proses menandatangani kontrak serta penjadualan produksi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here