
Perang hak cipta intelek global kembali meletus apabila syarikat gergasi automotif Britain, Jaguar Land Rover (JLR), mengheret pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD ke mahkamah atas dakwaan meniru reka bentuk model SUV Defender.
Ketegangan undang-undang berkenaan semakin memuncak susulan tindakan pegawai penguat kuasa mahkamah yang dilaporkan menyerbu premis serta merampas pelbagai rekod digital dari pejabat pengurusan BYD di Schiedam dan Hoofddorp, Belanda, baru-baru ini.
Laporan The Times dan The Guardian mengesahkan serbuan tersebut dijalankan pada Ogos lalu selepas JLR mengesyaki pesaing dari China itu bertindak meleraikan sebuah Defender bagi menjalankan proses kejuruteraan terbalik ke atas beberapa komponen teknologinya.
Teknologi terbabit didakwa digunakan pada model SUV plug-in hibrid (PHEV) terbaharu keluaran BYD, iaitu Fangchengbao Ti7 (atau BYD Ti7).
JLR Heret BYD Ke Mahkamah
Syarikat automotif British itu bertindak menyita rekod-rekod digital berkenaan sebelum ia berisiko dimusnahkan.
Bagaimanapun, pasukan undang-undang BYD menyifatkan tindakan itu sebagai “fishing expedition” (tindakan mencari kesalahan tanpa bukti kukuh) dan mendakwa banyak fail yang telah dirampas secara tidak wajar.
Sementara itu, penasihat undang-undang JLR pula menuduh pengeluar China berkenaan sengaja menghalang proses tindakan undang-undang berkenaan.
Pertikaian terbabit kini dibawa ke mahkamah di The Hague yang mana keputusan awal dijangka diumumkan pada 11 November ini.
Keputusan tersebut bakal menentukan sama ada BYD mempunyai kes yang perlu dijawab berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta intelek berkenaan.
Buat masa ini, kedua-dua pihak masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung prosiding yang sedang berlangsung.
Pertikaian berkenaan melibatkan BYD Ti7 yang mula dijual di China sejak September 2025 yang mana reka bentuk luaran mencuri perhatian kerana mirip dengan Land Rover Defender, sehinggakan ada yang menggelarnya sebagai “klon Defender dari China.”
Ini bukanlah kali pertama JLR mengheret pengeluar kereta China ke mahkamah atas dakwaan meniru kenderaan mereka.
Pada tahun 2019, JLR memenangi kes mahkamah berprofil tinggi menentang Jiangling Motor Corporation selepas pertikaian tiga tahun membabitkan model Landwind X7 yang terbukti meniru reka bentuk Range Rover Evoque.
Walau bagaimanapun, hubungan JLR dengan industri automotif China bersifat dua hala.
Selain mengambil pendekatan konfrontasi undang-undang, syarikat British itu turut mengekalkan kerjasama rapat menerusi usaha sama bersama Chery, yang mana bakal menghidupkan semula nama legenda Freelander sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) baharu tidak lama lagi.































